Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Perairan Sabak Bernam yang bermula Khamis lepas dihentikan secara rasmi petang semalam, kata Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, kata Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan.

Beliau berkata operasi itu ditamatkan pada pukul 5.30petang selepas tiada lagi mayat mangsa bot karam dijumpai.

"Walaupun operasi ditamatkan tetapi kita masih menjalankan pencarian saki baki mayat jika ada melalui rondaan biasa dan kita juga telah maklumkan kepada nelayan tempatan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, bot sepanjang 40 kaki yang dinaiki warga Indonesia dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Mohd Aliyas berkata penamatan operasi SAR menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban setakat ini sebanyak 64 orang terdiri daripada 39 lelaki, 24 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan.

Mangsa terselamat ialah sebanyak 20 orang terdiri daripada 19 lelaki dan seorang perempuan, katanya.

Beliau berkata daripada 64 yang terkorban, 54 mayat telah dikenal pasti dan 36 mayat telah dituntut oleh pihak kedutaan Indonesia.

Sementara itu, 20 mangsa yang terselamat masih ditahan reman sehingga 17 September ini untuk siasatan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan memasuki atau meninggalkan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, katanya.

"Daripada 20 orang itu, kita juga sudah kenal pasti seorang daripada mereka ialah yang bertindak sebagai tekong bot berkenaan dan dia disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 iaitu kesalahan mengangkut migran yang diseludup. Kita akan rujuk kes ini kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mohd Aliyas berkata keseluruhan kawasan operasi SAR meliputi 1,000 kilometer persegi bagi pencarian di perairan sementara pencarian udara meliputi kawasan 2,000 kilometer persegi, membabitkan kos keseluruhan operasi melebihi RM1 juta.

Sebanyak 15 aset laut dan empat aset udara terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan iaitu sembilan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga milik polis marin selain dibantu bot nelayan tempatan, katanya.

Mengulas mengenai spekulasi terhadap penemuan mayat terakhir pada Rabu lepas, iaitu lelaki dewasa dengan sebelah kaki terikat dengan tali rafia, Mohd Aliyas berkata siasatan mendapati mangsa adalah seorang daripada mangsa bot karam itu berdasarkan pengenalan diri yang ditemui dalam poket seluar mangsa.

"Kita telah serah kepada pihak polis untuk pastikan sama ada unsur jenayah memandangkan mayat mangsa ditemui dengan kaki terikat tali rafia dan kedudukannya agak jauh dari lokasi mayat-mayat mangsa lain ditemui, tetapi kebetulan terdapat pengenalan diri pada mayat dan dia disahkan seorang daripada mangsa bot karam.

"Tambahan pula, pada hari kedua operasi SAR kita memang dimaklumkan nelayan ada menemui satu mayat dan mereka telah ikat mayat itu pada boya sementara menunggu bantuan tiba tetapi mayat itu didapati telah terlepas dari ikatan dan hanyut. Kita percaya mayat yang ditemui dengan kaki terikat itulah yang terlepas dari ikatan pada boya," katanya.

Mohd Aliyas dalam pada itu menasihatkan warga Indonesia yang bercadang untuk memasuki atau meninggalkan Malaysia melalui cara yang haram supaya mengambil iktibar daripada kejadian bot karam berkenaan.