Operasi SAR menaikkan SUV terjunam disambung Selasa

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 21, 2019 15:28 MYT
Pemandangan udara operasi mencari sebuah kereta yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lagi kereta di KM 4 Jambatan Pulau Pinang pada Ahad. - Foto BERNAMA
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk membawa naik kereta SUV Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut akan disambung semula pada Selasa selepas ia ditamatkan kira-kira jam 7.20 Isnin malam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail, berkata kerja-kerja mengangkat kenderaan itu terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan selain faktor cuaca dan arus deras.
Katanya, kerja-kerja untuk mengapungkan dan mengalihkan kenderaan tersebut dijangka akan dimulakan pada pukul 9 pagi selepas mendapat nasihat daripada pihak PLUS.
"Pencarian telah ditangguhkan dan kita akan sambung semula selepas pukul 9 pagi esok. Tetapi bot penyelamat akan bersedia seawal pukul 7 pagi. Itu nasihat PLUS," kata Rosman pada Isnin.
Terdahulu, kereta terbabit berjaya dikesan kira-kira pukul 4 petang pada kedalaman 15 meter daripada tiang 34 Jambatan Pulau Pinang.
Penemuan berjaya dikesan selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan alat pengesan Sonar Teledyne T20P dengan bantuan Marine Science Technology Sdn Bhd.
Bagaimanapun, usaha untuk menaikkan kenderaan terbabit dengan kren turut mengalami kesukaran.
"Disebabkan arus kuat ditambah dengan keadaan air itu, visibility (jarak penglihatan) sangat teruk. Itu menyukarkan usaha penyelam. Tali yang diikat (pada kenderaan terbabit) juga terlepas," kata Rosman.
Operasi hari kedua pada Isnin disertai lebih 100 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, pasukan Marin Wilayah Utara serta Maritim Malaysia.
Sejumlah 14 bot digunakan untuk operasi SAR ini.
BACA: Insiden Jambatan Pulau Pinang nahas kelima sejak 2010
Dalam kejadian jam 2.45 pagi Ahad, sebuah Toyota Vios berwarna hitam dan Mazda CX-5 berwarna putih itu terbabit dalam kemalangan di KM4 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.
Pemandu Vios yang berusia 21 tahun itu cedera dan dikejarkan ke hospital, manakala SUV putih itu terjunam ke dalam laut.
BACA: Nahas Jambatan Pulau Pinang: Pemandu Vios positif ganja
Identiti pemandu SUV itu dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20 tahun, selepas bapanya membuat laporan polis pada pukul 5 petang Ahad.
Laporan dibuat kerana anaknya, yang juga penuntut sebuah kolej swasta, masih tidak pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi rakan di sebuah kelab di George Town.
#Jambatan Pulau Pinang #mazda cx 5 #mencari dan menyelamat #operasi sar #polis marin #Toyota Vios