Operasi SAR penumpang jatuh feri ditangguhkan, disambung Ahad

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 16, 2019 14:47 MYT
Pelbagai agensi terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang terlibat dalam operasi SAR tersebut. - Foto Astro AWANI
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bagi mencari seorang penumpang yang dipercayai terjatuh dari Feri Pulau Undan di George Town ditangguhkan pada jam 7.30 malam Sabtu.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, operasi SAR itu akan disambung semula pada jam 7.30 pagi Ahad.
Sehingga lewat petang tadi usaha mencari mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu masih belum berhasil.
Dalam masa sama laporan polis berkaitan orang hilang juga tiada setakat ini.
BACA: Penumpang terjatuh dari Feri Pulau Undan
Kawasan pencarian SAR hari kedua diperluaskan iaitu 18 batu nautika dari kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi Jumaat, seorang penumpang dikatakan terjatuh di 1.2 kilometer Barat Laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.
Pelbagai agensi terdiri daripada pasukan bomba dan penyelamat, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang terlibat dalam operasi SAR tersebut.
Operasi SAR digerakkan kira-kira jam 9.50 pagi sebaik APMM menerima laporan seorang mangsa dikhuatiri hilang selepas jatuh dari feri Pulau Undan, Pulau Pinang.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Feri Pulau Undan #George Town #mencari dan menyelamat #penumpang #SAR #terjatuh