KUALA LUMPUR: Semua operator dan pengguna gimnasium diingatkan agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas dibenarkan dibuka semula berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika didapati terdapat pelanggaran SOP atau penularan COVID-19, beliau tidak menolak kemungkinan kebenaran itu boleh ditarik semula.

"Malam semalam kita mendapat berita ini, kita telah mengalu-alukan perwartaan. Hari ini saya nak menggesa semua operator gimnasium dan pengguna mengikut SOP ditetapkan.

"Kita sebelum ini begitu mendesak agar ia (gimnasium) dibuka. Alhamdulilah, berkat usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN, operasinya telah dibenarkan.



[TERKINI] Gimnasium kembali beroperasi di negeri fasa 2, 3 PPN

"Tetapi jika penularan COVID-19 tidak dapat kita kawal dengan baik, kerana tidak amalkan SOP dengan betul, berkemungkinan perkara (kebenaran) tersebut akan ditarik semula," jelasnya.

Ujar Ahmad Faizal, beberapa cadangan SOP daripada kementeriannya sebelum ini turut diambil maklum sebelum diwartakan oleh MKN.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam lawatan kerja ke Komplek Sukan Lasak, Bukit Kiara di ibu negara pada Sabtu.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan itu mengesahkan bahawa perkhidmatan itu kini dibenarkan beroperasi berkuat kuasa serta-merta di negeri di bawah Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

BACA: Gimnasium kembali beroperasi di negeri Fasa 2, 3 PPN - Faizal Azumu

BACA: Pembukaan gimnasium: Ahmad Faizal mohon maaf salah faham


Berikut adalah SOP bagi aktiviti sukan dan riadah untuk negeri-negeri di bawah Fasa Dua PPN:

• Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan.

• Semua aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal yang dilakukan di kawasan TERBUKA (OUTDOOR) adalah TERHAD bagi individu yang telah MELENGKAPKAN VAKSINASI sahaja bagi melakukan semua aktiviti sukan dan rekreasi bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi TERBUKA (OUTDOOR) dengan pematuhan
kepada SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi DENGAN kawalan penyeliaan. Kehadiran pekerja adalah tidak melebihi 60% tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi. Penggunaan adalah dalam kalangan individu yang telah MELENGKAPKAN VAKSINASI bagi aktiviti bersentuhan fizikal. Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap juga dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

• Semua aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan atau tidak bersentuhan fizikal yang dilakukan secara individu atau berkumpulan di kawasan TERTUTUP (INDOOR) adalah TERHAD bagi individu yang telah MELENGKAPKAN VAKSINASI sahaja bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi TERTUTUP (INDOOR) dengan pematuhan kepada 50% kapasiti penggunaan/ kawasan DENGAN kawalan penyeliaan. Kehadiran pekerja adalah tidak melebihi 60% tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi. Penggunaan adalah dalam kalangan individu yang telah MELENGKAPKAN VAKSINASI sahaja. Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap juga dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi TERBUKA (OUTDOOR) dan TERTUTUP (INDOOR) awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pihak Berkuasa yang berkaitan.