MALAYSIA
Ops Alstonia: Sindiket dadah lebih RM5.1 juta tumpas, sembilan suspek ditahan

Hussein (tengah) pada sidang media di IPK Selangor berikutan kejayaan PDRM menumpaskan sendiket dadah dalam Ops Alstonia di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. -Astro AWANI / Shahir Omar
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam Ops Alstonia dengan nilai keseluruhan rampasan RM5,110,731,10 dan nilai sitaan RM341,449.16.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket dadah dalam Ops Alstonia dengan rampasan bernilai lebih RM5.1 juta dan sitaan harta lebih RM341,000, melibatkan sembilan suspek termasuk seorang pemandu Grab yang menjadi dalang.
- Serbuan serentak di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menemui pelbagai jenis dadah seperti MDMA, ketamin, ekstasi, eramin 5, jus dadah dan vape, cukup untuk 43,000 pengguna dalam sehari.
- Suspek berumur 24 hingga 36 tahun, enam positif dadah, tiga ada rekod jenayah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing merupakan ketua dan dalang kumpulan itu.
“Dia adalah mastermind dalam kumpulan ini. Salah satu modus operandi adalah sambil memandu, dia mengedarkan dadah juga sebagai satu penyamaran,” kata Hussein.
PDRM juga percaya kumpulan ini aktif menjual dadah di pusat-pusat hiburan dan juga individu perseorangan secara bersemuka ataupun secara dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selama tujuh dan lapan bulan sebelum serbuan.
“Kesemua suspek ini berumur dalam lingkungan 24 hingga 36 tahun,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Jumaat.
Menurut Hussein, JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontijen Selangor telah menjalankan serbuan serentak di Bukit Jalil, Semenyih, Puchong dan Kajang dari jam 5.50 petang hingga jam 11.30 malam pada 3 Jun.
Semasa serbuan, polis berjaya merampas dadah jenis serbuk MDMA, ketamin, eramin 5, ekstasi jenis serbuk dan pil, jus minuman dan katrij vape yang disyaki mengandungi dadah.
Jumlah anggaran berat bagi MDMA 26 kilogram, Jus minuman tiga liter, serbuk ekstasi 1.2 kilogram, 110 katrij vape 2.9 kilogram, ketamin 4.7 kilogram, pil ekstasi 641 gram dan pil eramin 5 ialah 1.96 kilogram.
“Keseluruhan dadah berbagai jenis yang dirampas kali ini boleh dibekalkan kepada 43,000 orang pengguna dalam masa sehari,” katanya.
Hasil semakan PDRM juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan juga dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan, enam daripada mereka adalah positif dadah, manakala tiga suspek negatif,” katanya lagi.
Polis juga bertindak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998 dengan menyita, wang tunai pelbagai nilai mata wang iaitu RM2,100.00, AS$100, HK$20, 20 pataca Macau.
Turut disita lima kenderaan jenis Proton Preve, Toyota Vios, Hyundai Sonata, BMW 320I dan Honda Civic, empat ketul bar emas, dua utas tali leher, 17 utas jam tangan, enam bentuk cincin, empat utas jam berjenama dan tiga buah beg tangan berjenama Louis Vuitton.
Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, dan kes siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara semua hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami