KUALA LUMPUR: Operasi bersepadu yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Ops Manis, dilaksanakan untuk mengatasi gangguan bekalan gula di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Kedah.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu bertujuan mengawal aktiviti menyorok gula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain mengelak pembelian panik oleh pengguna.

Jelasnya, Ops Manis melibatkan pemantauan bekalan gula dari peringkat pemborong sehingga peruncit.

"KPDN juga memantau pengeluaran gula syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Cental Sugars Refinery (CSR) serta mengawasi inventori stok penimbal gula di kilang atau gudang penyimpanan.

“Kita sentiasa melibatkan industri dalam setiap perbincangan. Kita mengeluarkan arahan secara spesifik kepada dua pengeluar utama tersebut.”

“Yang pertama, mereka kena keluarkan tidak kurang daripada 42,000 metrik tan gula sebulan untuk kegunaan rakyat, tak termasuk kegunaan industri, yang kami namakan sebagai gula rakyat,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Dalam pada itu jelasnya, pihak berkenaan perlu menghantar laporan kepada KPDN setiap hari untuk pemantauan dan penjejakan rantaian gula.

"Ia memastikan gula tersebut diberikan kepada pemborong supaya sampai dengan lebih cepat dan tepat kepada kumpulan sasaran kita," ujarnya.

Katanya lagi, sejumlah premis telah diperiksa dan tindakan telah diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan yang diperoleh daripada aduan orang ramai.

“Kebanyakan kes yang terhasil adalah berkaitan dengan penjualan bersyarat, maksudnya kalau nak beli gula kena beli gula yang lebih mahal atau kena beli gula dengan barangan yang lain, itu kesalahan paling banyak.

“Kedua, ada juga yang menjual gula melebihi daripada harga yang ditetapkan, itu dua kesalahan utama,” jelasnya.

Ujarnya lagi, isu gangguan bekalan gula menjelang Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan permintaan gula meningkat.

"Faktor-faktor seperti musim perayaan dan cuti Hari Raya juga mempengaruhi pengedaran dan penghantaran gula.

"Selain itu, KPDN juga membenarkan penjualan gula putih bertapis jernih sebagai alternatif kepada gula pasir bertapis kasar dan halus yang dikawal harganya.

"Penjualan gula putih bertapis jernih tidak boleh menggantikan bekalan gula pasir yang sedia ada, dan syarikat pengeluar gula diarahkan untuk terus mengeluarkan bekalan yang mencukupi pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan," tegasnya.

Katanya, KPDN akan terus memantau bekalan gula di pasaran dan memastikan bekalan cukup untuk pengguna.

Azman turut meminta pengguna untuk tidak melakukan pembelian panik yang boleh mengganggu rantaian bekalan.

“Kami di peringkat kementerian telah memutuskan kesalahan berkaitan gula adalah satu sangat serius.

“Ia memberikan kegusaran kepada masyarakat selain mengganggu bekalan dalam masyarakat.

"Jadi kami telah membuat keputusan, sesiapa yang terlibat dalam isu penyalahgunaan gula ini akan menerima tindakan tegas termasuk menggantung lesen barang kawalan berjadual (CSA), membatalkan lesen CSA termasuklah menyenarai hitamkan mereka.” katanya.

Katanya lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan di setiap peringkat pengedaran, dan penting bagi pengguna untuk menggunakan gula dengan berhemah dan mengikut saranan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama ujarnya, KPDN berharap agar pengguna tetap tenang dan berbelanja mengikut keperluan.

"Pengguna juga digalakkan menggunakan gula dengan berhemah demi kesihatan mereka.

"Pengenalan penjualan gula putih bertapis jernih adalah untuk membantu syarikat pengeluar gula mengekalkan daya saing mereka dan mengimbangi kos operasi.

"Ops Manis dan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh KPDN adalah untuk memastikan bekalan gula stabil dan tersedia bagi pengguna di seluruh negara," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai membuat aduan melalui aplikasi Whatsapp kepada KPDN jika mengetahui sebarang aktiviti penyelewengan atau kekurangan bekalan gula di talian 019-2794317 atau 019-8488000.

Orang ramai juga membuat aduan di e.aduan.kpdn.gov.my atau hubungi Call Centre 1-800-886-800, selain bilik gerakan penguatkuasaan di talian 03-88826088/6245.

Agenda AWANI: Pelaksanaan Ops Manis