PUTRAJAYA: Sebanyak 84 kes berhubung pelbagai kesalahan telah direkodkan sepanjang Ops Pantau 2024 yang dijalankan di seluruh negara, melibatkan nilai rampasan sebanyak RM414,319.07.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, sejumlah 685 pemeriksaan di Bazar Aidilfitri juga telah dijalankan di seluruh negara, dan sejumlah 623 aduan pelbagai kategori juga diterima dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, antara kesalahan yang diambil tindakan meliputi kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat penimbang yang sah, serta menjual barang-barang tiruan.

“KPDN telah menggerakkan lebih kurang 2,200 orang pegawai penguatkuasa di seluruh negara bagi melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri menerusi Ops Pantau 2024.

“Ops Pantau 2024 yang dilancarkan pada 12 Mac 2024 bertujuan untuk memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian, selain memastikan perdagangan domestik terus berkembang pesat dengan perlindungan yang lebih efektif ke atas pengguna,” katanya lagi.

Azman berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan walkabout bagi meninjau pelaksanaan Ops Pantau 2024 di Bazar Aidilfitri, Presint 13 Putrajaya, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan kerajaan, terutamanya sepanjang bulan Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri, bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

“Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berjimat-cermat dan merancang perbelanjaan bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, selain mengelakkan pembaziran sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang,” katanya lagi.