LUMUT: Seramai 1,476 warga Myanmar yang ditahan di depot imigresen dihantar pulang ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0 hari ini.
Operasi bermula seawal jam 4 pagi apabila kesemua mereka dikumpulkan di pekarangan Stadium Manjung untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diberikan sarapan.
Tinjauan mendapati kawalan ketat dilaksanakan oleh anggota Pasukan Kawalan Khas (PKK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang operasi berkenaan.
Tahanan kemudian bergerak secara berkumpulan menaiki 46 bas ekspres menuju ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Sekitar jam 8 pagi, kumpulan berkenaan tiba di pangkalan itu bagi meneruskan proses pemindahan sebelum dihantar pulang ke Myanmar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin, berkata penghantaran itu merupakan fasa pertama daripada persetujuan melibatkan 5,000 warga Myanmar yang akan dihantar pulang secara berperingkat.
“Individu yang terlibat untuk proses penghantaran pulang ini telah dikenal pasti oleh kerajaan Myanmar dan dikemukakan nama-nama tersebut melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di geladak penerbangan KD Sri Indera Sakti, Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.
Menurut Makhzan, tarikh 29 September dipersetujui bagi pelaksanaan fasa pertama berbanding cadangan asal kerajaan Myanmar pada 20 Ogos lalu.
Jelasnya, operasi itu merupakan hasil beberapa peringkat tindakan dan rundingan di antara kedua-dua negara meliputi pengenalpastian individu, penyelarasan antara agensi serta persediaan operasi dan logistik.
“Penghantaran pulang warganegara sesebuah negara memerlukan kerjasama dan persetujuan negara asal, khususnya dari segi pengenalpastian warganegara, dokumentasi penerimaan dan mekanisme penghantaran pulang tersebut,” katanya.
Beliau berkata bagi fasa pertama itu, JIM bertindak sebagai agensi utama KDN dalam melaksanakan proses penghantaran pulang berkenaan.
Antaranya termasuk pengesahan dan pemadanan individu yang dikenal pasti, dokumentasi, penyelarasan dengan agensi berkaitan serta persediaan keselamatan dan logistik.
Kesemua individu yang dihantar pulang dikenal pasti layak dan bersetuju untuk kembali ke negara asal secara sukarela.
Mereka terdiri daripada individu berusia antara lapan hingga 60 tahun yang sebelum ini ditempatkan di 14 depot imigresen di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 1,370 merupakan tahanan lelaki dan 79 tahanan wanita, manakala 27 lagi terdiri daripada kanak-kanak yang ditempatkan bersama penjaga masing-masing.
Jumlah kanak-kanak itu membabitkan 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Bagi operasi hari ini, kerajaan Myanmar menyediakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar bagi membawa pulang kesemua individu terbabit.
Ia terdiri daripada kapal jenis logistic support tanker UMS Moattama, kapal pengiring UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin yang tiba di Lumut semalam.
Dalam perjalanan keluar dari perairan negara, kapal berkenaan akan diiringi tiga aset keselamatan Malaysia termasuk KD Lekir dan KD Teguh Samudera milik TLDM serta sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Iringan keselamatan itu akan diteruskan sehingga ke lokasi yang dipersetujui sebelum kapal Tentera Laut Myanmar meneruskan perjalanan ke negara berkenaan.
Operasi penghantaran pulang itu turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi termasuk KDN, JIM, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pertahanan dan TLDM.