Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] KDN perjelas status 10,388 warga Myanmar dalam tahanan

MAKHZAN, KDN
Makhzan (foto) berkata jumlah itu merangkumi keseluruhan warga Myanmar dalam tahanan dan tidak boleh disamakan dalam satu kategori. -Gambar Astro AWANI/Seth Akmal
Advertisement

LUMUT: Status 10,388 warga Myanmar yang berada dalam tahanan imigresen perlu dikenal pasti secara individu bagi menentukan kedudukan mereka, termasuk status imigresen dan tuntutan sebagai pelarian.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin, berkata jumlah itu merangkumi keseluruhan warga Myanmar dalam tahanan dan tidak boleh disamakan dalam satu kategori.

Beliau berkata tidak semua individu terbabit boleh dianggap sebagai pelarian dan setiap seorang perlu melalui proses pengesahan identiti serta penentuan status secara terperinci.

“Atas sebab itu, status individu perlu dikenal pasti secara tepat dan tidak boleh digeneralisasikan,” katanya pada sidang media di geladak penerbangan KD Sri Indera Sakti, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Bagi tahun 2026, seramai 4,008 individu, terutamanya etnik Rohingya akan disalurkan kepada program DPP.

“Manakala 5,000 individu lain akan melalui proses penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat sebagaimana yang dipersetujui antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Myanmar,” katanya.

Makhzan berkata kerajaan melaksanakan kedua-dua pendekatan itu secara serentak, membabitkan penghantaran pulang individu yang layak dan bersetuju kembali ke negara asal serta pendaftaran mereka yang perlu dikenal pasti statusnya.

“Kedua-dua pendekatan ini dilaksanakan secara serentak iaitu penghantaran pulang bagi individu layak dan bersetuju untuk kembali ke negara asal serta pendaftaran bagi individu yang perlu dikenal pasti status mereka.

“Program ini dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab berdasarkan prosedur yang telah dipersetujui bersama kerajaan Myanmar,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement