SETIAP langkah kupercepat lagi agar tidak ketinggalan. Figura kecil yang berjalan kaki ayam di hadapan begitu lincah dan pantas pergerakannya, langsung tidak menghiraukan keadaan berlumpur di sekitarnya.
Selang beberapa langkah, kakiku tergelincir dan hampir terjerumus ke dalam tanah berlumpur itu. “Hati-hati, licin..” kata si anak kecil itu yang hanya mampu tertawa melihat gelagat orang bandar ini.
“Srapppp…” Akhirnya kaki kananku terbenam dalam lumpur sehingga ke paras lutut. Selepas beberapa minit berjaya menarik keluar kaki, kasut pula yang tersangkut dalam lumpur.
“Bila berjalan perlu imbangi berat kaki supaya tidak menekan ke bawah dan langkah itu haruslah ‘ringan’ seperti cara adik ini berjalan, tengok, relaks saja,” ujar Shaq Koyoq yang berada di hadapan memimpin jalan bagi kami sekumpulan ke dalam hutan paya gambut itu.
Inilah aktiviti yang dilakukan Shaq atau nama sebenar, Shahar Koyoq, 35, hampir setiap hujung minggu.
Artis Orang Asli berketurunan suku Temuan ini suka membawa rakan-rakan dan kenalannya dari Kuala Lumpur bagi “menjenguk” kampung halamannya di Perkampungan Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor untuk merasai pengalaman bersama dengan alam.
“Saya juga selalu membawa rakan-rakan artis seni untuk masuk hutan untuk mendapat inspirasi hasil karya mereka. Selalunya mereka suka cara sebegini kerana sukar untuk mencari pengalaman seperti ini di bandar,” katanya.
Aktiviti mingguan itu juga dirakam dan dimuat naik menerusi akaun YouTube milik Shaq untuk tontonan rakan-rakan dan orang ramai.
Misi kali ini untuk mencari ‘ikan betta’ iaitu sejenis ikan laga yang spesiesnya hanya unik di kawasan hutan di perkampungannya itu.
Difahamkan hari sebelumnya hujan, maka paras air sungai sedikit tinggi dan banyak ikan yang dapat ditangkap.
Kami sekumpulan juga ditemani Tok Batin dan keluarganya, termasuk adik kecil tadi yang tidak mahu melepaskan peluang menangkap ikan yang unik ini.
Shaq tidak melepaskan peluang merakam telatah kami sekumpulan cuba menangkap ikan menggunakan jaring ikan celup.
Ikan kecil berwarna-warni itu berenang dalam bekas yang digunakan untuk menyimpannya seketika untuk tujuan bergambar sebelum ia dilepaskan semula ke dalam sungai.
Sepanjang perjalanan, Shaq bercerita tentang jenis-jenis pokok dan tumbuhan yang ditemui secara semula jadi di hutan itu.
“Ini ialah untuk sakit-sakit kalau kena gigit lipan ke atau kena gigit ular. Boleh digunakan untuk merawat luka,” katanya sambil merujuk kepada sebatang pokok dedaun yang renek.
Beberapa langkah ke hadapan lagi, Shaq memetik tumbuhan lain dan mula mengunyahnya.
“Cuba rasa yang ini,” katanya sambil menghulurkan dedaun yang baru dipetiknya itu.
Rasanya segar seperti pudina tetapi tidak sepahit dan mempunyai tekstur yang rangup seperti daun salad.
“Bagaimana kamu tahu semua ini?” saya bertanya kepada Shaq kerana cukup kagum dengan pengetahuannya tentang alam.
“Memang sejak kecil, kami diajar ibu bapa kami tentang semua ini. Orang Asli banyak bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan dan ubat-ubatan, jadi penting untuk menuruni ilmu ini kepada anak-anak kami,” ujarnya.
Shaq juga sempat bercerita bahawa ketika pandemik COVID-19, hutanlah satu-satunya sumber kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.
“Ketika PKP dikuatkuasakan, penduduk kampung tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan lalu kami bergantung seratus peratus kepada hasil hutan untuk sumber makanan,” katanya lagi.
Ujar Shaq, bagi masyarakat Orang Asli, hutan bukan hanya sekadar komoditi, ia juga melambangkan jati diri dan identiti masyarakat itu.
Orang Asli warisan penjaga alam makin terhakis
Terdapat dua jenis hutan berdekatan kampung halaman Shaq iaitu hutan bukit dan hutan paya gambut. Kedua-duanya berada dalam lingkungan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Selangor.
Menurut Tok Batin Kampung Busut Baru, Sari Bin Senin, 58 , cuaca panas yang tidak menentu telah mengakibatkan hasil hutan penduduk Orang Asli sedikit terjejas.
Masyarakat Orang Asli bergantung kepada hutan untuk sumber makanan dan kehidupan.
“Ya cuaca panas ini memang memberi kesan. Kalau nak mencari herba sekarang memang kurang subur.
“Kalau dulu memang ada banyak sebab keadaan hutan lebih sejuk jadi dia boleh tumbuh subur seperti untuk khasiat herba dan makanan memang subur dan cantik. Sekarang ini memang terkesan lah.
“Contoh seperti herba untuk wanita lepas bersalin dan kalau untuk makanan pula, pokok nibung sudah mula berkurangan, kena pergi jauh sikit atau tanah berbukit baru ada pokok,” katanya.
Tambah Sari, perubahan dalam cuaca ini telah mula dirasainya sejak 20 tahun lalu.
Baginya, inilah yang difahaminya dengan terma ‘perubahan iklim’.
“Pada pemikiran saya, perubahan iklim itu adalah dari segi pemanasan, mungkin sebab kami selalu berdekatan dengan hutan boleh rasa lebih dingin tetapi dekat luar memang panas.
“Kalau hutan dimusnahkan memang panas lah. Iklim sekarang pun mula panas di seluruh dunia. Jadi kita perlu ada hutan untuk mengimbangi suhu bumi,” katanya lagi.
Secara umumnya, masyarakat Orang Asli memiliki pelbagai jenis adat budaya, pantang larang, kepercayaan, amalan kesihatan dan nilai hidup mereka yang unik dan tersendiri.
Mereka mengamalkan nilai hidup secara harmoni antara sesama insan dan alam persekitaran semula jadi.
Menurut Illi Nadiah Dzulfakar, Pengasas Klima Action Malaysia (KAMY), akibat perubahan iklim, masyarakat Orang Asli dikhuatiri tidak lagi berupaya bergantung sepenuhnya kepada ilmu pengetahuan pribumi mereka untuk kelangsungan hidup.
“Komuniti Orang Asli bergantung kepada ilmu tradisi tentang cuaca dan alam sekitar yang diwarisi sejak turun-temurun. Namun kerana cuaca sekarang sangat tidak menentu, mereka mungkin tidak dapat lagi menggunakan ilmu yang sedia ada.”
“Perubahan cuaca dan persekitaran mereka berlaku dengan begitu pantas menyebabkan golongan ini tidak berupaya adaptasi kepada situasi semasa. Lama-kelamaan ilmu pribumi ini juga akan ‘hilang’ kerana mereka tidak dapat menggunakannya lagi,” katanya.
Bagi menyelamatkan tumbuh-tumbuhan herba yang telah digunakan komuniti orang asli sejak turun-temurun, Tok Batin dan orang-orang kampungnya cuba menanam semai dari hutan di halaman rumah.
Anak pokok tumbuhan yang dijumpai di hutan paya gambut akan disemai dengan harapan tanaman itu dapat kekal tumbuh segar.
Hutan paya gambut, simpanan karbon terpenting
Hutan paya gambut sering kali tidak dihargai. Jarang kita membaca tentang peranan dan kelebihan ekosistem hutan ini khususnya dalam media massa.
Namun, ‘taman permainan’ Shaq inilah simpanan karbon yang penting untuk planet kita dan merupakan eleman penting dalam menangani pemanasan global.
Biarpun hutan paya gambut hanya meliputi tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, namun ia bertanggungjawab menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding hutan jenis lain.
Justeru, keupayaan hutan ini menyerap karbon dioksida membantu memperlahankan proses pemanasan global dengan menstabilkan iklim.
Kemusnahan hutan paya gambut mampu mengakibatkan jutaan tan metrik karbon dioksida yang diserap hutan berkenaan dibebaskan kembali ke atmosfera.
Kebakaran hutan di Borneo dan Sumatra pada sekitar 1997-1998 umpamanya dilaporkan telah membebaskan sehingga 2.5 bilion tan karbon atau bersamaan dengan 13–40 peratus pelepasan karbon setahun.
Selain menyimpan karbon, hutan paya gambut juga bertindak sebagai span bagi menakung air dan menghalang banjir ketika hujan dan menjadi sumber air sewaktu musim kering atau kemarau.
Namun ciri-ciri tanah di hutan ini juga menyebabkan ia amat sukar dipadamkan sekiranya berlaku kebakaran.
Tanah gambut yang terdiri dari bahan organik dan tumbuhan yang tidak reput seperti batang, dahan, ranting, akar dan dedaun menyebabkannya mudah terbakar jika paras air dalam hutan paya berkurangan.
Kebakaran akan melepaskan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan nitrous oksida (N2O) yang cukup banyak ke udara sekali gus menyebabkan pemanasan global semakin teruk.
Komuniti Orang Asli pantau kebakaran hutan paya
Hampir setiap tahun pasti sering membaca berita tentang kebakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu teruk khususnya pada musim kemarau.
Bagaimanapun menurut Pengurus Program Perhutanan dan Pesisir Pantai, Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Nagarajan Rengasamy, kebanyakan insiden berpunca daripada manusia sama ada kebakaran secara sengaja atau tidak sengaja.
“Kebanyakan kebakaran ini disebabkan perbuatan manusia sama ada besar atau kecil bergantung kepada lokasi dan bahan bakar.
“Di kebanyakan kawasan hutan paya, ekoran lokasinya di pesisir pantai, ombak dan angin akan menolak kebakaran lebih ke dalam. Dan yang pasti faktor cuaca akan memburukkan keadaan.
“Jika cuaca panas seperti kemarau, maka lebih cepat ia merebak dan sukar untuk memadam kebakaran,” katanya.
Nagarajan menarik perhatian hasil kajian dilakukan GEC terhadap kebakaran hutan paya di Selangor sejak 2014.
“Selalu orang suka menuding jari terhadap masyarakat Orang Asli sebagai penyebab kebakaran hutan kerana mereka mengamalkan pertanian tebang dan bakar.
“Namun hasil kajian kami mendapati kewujudan tali air di hutan paya gambut telah mengalirkan air keluar dari hutan berkenaan untuk tujuan pertanian dan pembangunan.
“Penurunan paras air melalui tali air, parit dan longkang menjadikan tanah gambut menjadi kering terutama di permukaan yang meninggikan risiko kebakaran,” katanya.
Ujarnya, hanya satu puntung rokok mampu menyebabkan seluruh hutan itu terbakar.
Justeru, GEC telah memulakan inisiatif bersama-sama penduduk kampung orang asli bagi memantau kebakaran hutan di sekitar hutan paya gambut di Kampung Orang Asli Busut Baru dan beberapa kampung lain yang berada dalam berhampiran hutan paya gambut Kuala Lumpur Utara.
Menerusi program bekenaan, Sari dan beberapa orang kampung yang membentuk Sahabat Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu bertindak meronda sekeliling kawasan hutan paya itu selang beberapa hari seminggu bagi memantau sebarang aktiviti pembakaran.
Penduduk kampung turut dilatih memadam kebakaran kecil dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Langat selain didedahkan kepada pengurusan hutan paya gambut termasuk aspek hidrologi, pencegahan dan kawalan kebakaran.
Penduduk kampung juga terlibat dalam aktiviti menanam anak-anak pokok bagi memulihara ekosistem hutan dan mengimbangi kesan daripada perubahan iklim.
Nagarajan percaya kejayaan program berkenaan adalah hasil kerjasama NGO, komuniti setempat dan pihak berkuasa yang bertungkus lumus memelihara hutan paya terakhir Selangor itu.
Ujarnya, sehingga pelaksanaan program itu sejak 2014, tiada lagi kebakaran besar dilaporkan berlaku di kawasan hutan simpan berkenaan kecuali pada 2017 akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Malah rata-rata kawasan hutan yang terjejas akibat kebakaran sebelum ini telah berjaya dipulihkan penduduk kampung dengan aktiviti penanaman pokok.
Lebih 10,000 pokok berjaya ditanam dan 300 hektar hutan berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun menerusi program bersama GEC.
Namun, semua usaha itu bakal lesap ekoran laporan bahawa hutan paya gambut yang penting itu bakal dinyahwartakan daripada senarai Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk memberi laluan kepada pembangunan.
IKUTI BAHAGIAN KEDUA LAPORAN INI : Selamatkan hutan paya gambut terakhir di Selangor
* Tan Su Lin ialah seorang penulis yang juga advokasi alam sekitar, pencinta laut dan penggemar selam skuba.
** Sekalung penghargaan kepada Projek Dialog kerana telah membantu menjayakan laporan ini.
*** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian sidang pengarang Astro AWANI.
Tan Su Lin
Sat Nov 07 2020
Masyarakat Orang Asli yang membentuk Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara. - GEC/Facebook
[TERKINI] Bendera terbalik, Lee Zii Jia melakukan kesilapan kritikal
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata biarpun pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, telah memohon maaf, tetapi kesilapan memakai jersi memaparkan bendera Malaysia secara terbalik, sebagai kesilapan kritikal.
JIM Selangor gempur kawasan setinggan warga asing
Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menahan 49 warga asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas menyerbu sebuah kawasan setinggan di Taman Ayer Hitam awal pagi tadi.
Zahid tidak terima sebarang makluman daripada Tengku Zafrul
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak menerima sebarang pemakluman daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain.
Saintis muda tonggak sains iklim - Nik Nazmi
Penglibatan saintis Malaysia dalam sains iklim global amat penting untuk memperkukuh pengaruh negara dalam dasar antarabangsa, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan aktif Malaysia dalam proses Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (I-P-C-C) perlu diperkasakan, terutama ketika negara berdepan kesan perubahan iklim yang semakin serius.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan aktif Malaysia dalam proses Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (I-P-C-C) perlu diperkasakan, terutama ketika negara berdepan kesan perubahan iklim yang semakin serius.
1,342 kes denggi, dua kematian direkod minggu lalu - KKM
Sebanyak 1,342 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49) berbanding 1,249 kes dan tiada kematian pada minggu sebelumnya.
Papagomo dibebaskan dengan jaminan polis selepas beri keterangan
Papagomo ditahan 1.30 pagi semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes memanipulasi nama sebuah syarikat untuk mengutip dana daripada orang awam.
Banjir: Pakai jubah di PPS ambil 'vibes' konvokesyen
"Saya pakai jubah di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk merasai 'vibes' konvokesyen," kata mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Durratul Alia Mohd Kamil, 24, yang terjejas banjir.
Planworth tawar pembiayaan alternatif hingga RM20 juta sokong PMKS
Pembiayaan ditawarkan kepada mereka yang mendapat tawaran kontrak atau sebut harga dari kerajaan, GLC dan syarikat swasta.
AWANI Ringkas: Beregu campuran negara mara ke final
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Sifat materialistik adalah malapetaka masyarakat - Dr Maza
Manusia pada masa kini cenderung mengutamakan nilai materialistik, termasuk dalam bidang perubatan.
Menurut Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, keadaan ini adalah satu malapetaka dalam kehidupan yang perlu segera diatasi sebelum memberi kesan yang lebih buruk kepada masyarakat.
Menurut Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, keadaan ini adalah satu malapetaka dalam kehidupan yang perlu segera diatasi sebelum memberi kesan yang lebih buruk kepada masyarakat.
Keterbatasan internet cabaran sampai maklumat kerjaya sektor awam kepada Orang Asli
Hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.
Pemilik perlu peka pengumuman penggilan semula kenderaan untuk pemeriksaan - Loke
Pemilik kenderaan diminta supaya lebih peka terhadap pengumuman pemanggilan semula kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan terjamin ketika di jalan raya.
Trauma Bah Kuning 2014: Orang Asli di Gua Musang mahu kekal tinggal di bangsal
50 keluarga masih enggan pulang ke rumah masing-masing khususnya yang terletak di kawasan lebih rendah.
Belanjawan 2025: Pahang sasar kutipan hasil RM1.194 bilion
Pahang menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.194 bilion tahun depan iaitu peningkatan lima peratus berbanding belanjawan tahun lepas.
72 kampung Orang Asli diwartakan di Perak setakat ini - Exco
Sebanyak 72 pewartaan kawasan yang melibatkan 99 Kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Perak setakat ini.
Pahang bina pangsapuri bantu orang muda dan B40 miliki rumah
Kerajaan Pahang akan membina pangsapuri bagi membantu golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah sejajar misi memastikan tiada lapisan masyarakat di negeri ini terpinggir.
Bomba Perak giat cari lelaki Orang Asli hilang ketika memancing
JBPM Perak sedang giat mencari seorang lelaki Orang Asli yang dipercayai hilang selepas keluar memancing di Sungai Tumboh, Kampung Gajah, dekat sini sejak petang semalam.
Orang Asli tiada geran tanah mahu jual kelapa sawit perlu rujuk kerajaan negeri
Masyarakat Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen perlu merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing.
Gombak-Hulu Langat Geopark bantu jayakan Tahun Melawat Selangor 2025 - Amirudin
Perisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor akan menjadi antara batu loncatan bagi mempromosikan tarikan pelancongan.
MTL: JAKOA siap sedia hadapi banjir
JAKOA sudah bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang bermula hari ini hingga Mac tahun depan bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan berisiko terjejas banjir dapat diberi bantuan segera.