SEBELUM memasuki perkampungan Orang Asli Busut Baru, anda akan disambut oleh kain rentang di gerbang pintu utama yang bertulis, “Dunia tanpa hutan adalah seperti dunia tanpa udara, air, kehidupan, haiwan dan tumbuhan. Selamatkan Hutan HSKLU”.

Di sebelahnya, satu lagi papan tanda menyebut “Bantah Nyahwarta HSKLU.” 

Difahamkan terdapat enam perkampungan yang terletak bersebelahan HSKLU selain kampung Orang Asli Busut Baru, iaitu Kampung Pulau Kempas, Kampung Bukit Cheeding, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Kemandul dan Kampung Bukit Perah.

Masa depan tradisi dan corak hidup komuniti Orang Asli suku Temuan yang telah bertempat di kawasan hutan itu sejak tahun 1886 terus diancam oleh tekanan pembangunan negara yang menuju ke arah pemodenan.

Bukan hanya hilang tanah warisan, malah komuniti ini turut berdepan kemungkinan kehilangan sumber kehidupan ekoran tindakan kerajaan negeri Selangor yang ingin menyahwartakan kawasan seluas 930.93 hektar atau 97% hutan simpan berkenaan untuk tujuan projek pembangunan bercampur.

Pelbagai spesies hidupan, termasuklah spesies terancam seperti pokok meranti bakau, beruang matahari, tupai terbang pigmi dan ikan laga Betta Langat juga antara penghuni terancam di hutan berkenaan.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Selangor merupakan hutan gambut seluas 960 hektar dan habitat kepada pelbagai spesis hidupan. - Foto: GEC/Facebook

Menurut rekod, HSKLU diklasifikasi sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara ke-3 dan telah ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan di bawah Rancangan Tempatan Kuala Langat.

Ini bermakna tiada pembangunan sepatutnya dibenarkan di kawasan ini untuk mengelakkan impak serius kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial. Ekosistem dan biodiversiti akan terancam sekiranya pemansuhan hutan simpan kekal ini diteruskan.

Rancangan penyahwartaan itu turut mendapat bantahan beberapa NGO termasuk Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor terdiri daripada tujuh NGO alam sekitar dan sosial yang menentang pemansuhan HSKLU.

Antaranya mereka menuntut agar lebih perincian diberikan berkenaan projek ‘pembangunan bercampur’ yang ingin dilakukan dengan penyahwartaan hutan.

Mereka turut memberi amaran bahawa tindakan penyahwartaan HSKLU bakal memberi impak besar kepada alam sekitar.

Antara satu-satunya kawasan hijau yang tinggal di Selangor, kemusnahan hutan paya itu dianggar akan membebaskan 5.5 juta tan karbon dioksida ke atmosfera.

Tindakan ini sekaligus bercanggah dengan komitmen pengurangan karbon negara yang termeterai dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Malaysia antara lain berikrar akan mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 selain turut menyatakan komitmen untuk mengekalkan 50 peratus kawasan hutannya.

Malah kerajaan negeri Selangor dalam pembentangan belanjawan negeri 2020 turut menyatakan komitmen untuk mengurangkan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030, sejajar dengan kerangka Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Langkah penyahwartaan HSKLU juga tidak selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32% kawasan hutan di Selangor.

Oleh itu, Pengurus Program Perhutanan dan Pesisir Pantai, Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Nagarajan Rengasamy berasa terkilan dengan rancangan kerajaan Selangor menyahwartakan hutan berkenaan kerana ia memberi persepsi negatif terhadap segala usaha ke arah melestarikan Selangor.

“Apa yang pasti, tindakan ini seakan-akan menerbelakangkan segala usaha yang dilakukan semua pihak termasuk NGO alam sekitar bersama-sama komuniti orang asli selama ini.”

“Alasan bahawa projek pembangunan ini perlu bagi menghentikan kebakaran hutan tidak boleh diterima kerana terbukti menerusi program yang telah dijalankan, tiada lagi insiden kebakaran yang besar berlaku malah masyarakat orang asli telah berjaya memulihkan kawasan hutan yang rosak dengan menanam semula pokok-pokok.”

“Tidakkah cukup sudah pembangunan di Selangor, antara negeri paling pesat di Malaysia?” katanya lagi.

Terbaharu, satu sesi ‘town hall’ telah dianjurkan pihak kerajaan negeri pada 30 September berkenaan rancangan berkenaan yang menyaksikan masyarakat Orang Asli, NGO alam sekitar, beberapa agensi persekutuan dan malah syarikat swasta tampil bagi membantah hasrat itu.

Rancangan itu turut menerima lebih 45,000 bantahan orang awam, termasuk menerusi petisyen dalam talian, e-mel dan bantahan bertulis.

Bagaimanapun, keputusan akhir berkenaan penyahwartaan HSKLU belum diketahui setakat ini.




‘Kehilangan’ yang tiada galang ganti

Persoalan lebih penting, apakah nasib orang asli jika hutan yang menjadi tanah warisan turun-temurun mereka terus diteroka untuk pembangunan?

Bagi penduduk orang asli di Kampung Busut Baru, episod ini bagaikan membuka luka lama apabila terpaksa berpindah dari tempat asal mereka di Kampung Busut di Sepang pada 1993 untuk memberi laluan kepada pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka bukan hanya terpaksa meninggalkan tempat tinggal, tetapi tanah adat dan cara hidup warisan nenek moyang mereka atas nama pembangunan.

Pengasas Klima Action Malaysia (KAMY), Illi Nadiah Dzulfakar berpandangan usah menyesal jika khazanah hutan paya dan warisan orang asli ini 'hilang’ akibat kerakusan manusia.

“Kemungkinan dalam tempoh 10-20 tahun akan datang, tiada lagi kelompok komuniti orang asli yang tinggal kerana semua telah ‘lesap’ dan ini semua salah kita kerana telah meminggirkan kelompok masyarakat ini.”

“Saya cukup sedih apabila mendengar keluh kesah perjuangan masyarakat ini sehingga ada di antara mereka yang hampir berputus asa akibat sering kali ditindas.” 

“Hakikatnya, banyak yang kita masih tidak ketahui tentang kehidupan dan tradisi turun-temurun Orang Asli kerana kurangnya rekod terperinci dan menyeluruh tentang komuniti ini termasuklah pengetahuan mereka yang mendalam tentang alam sekitar.”

“Mereka mungkin merupakan kunci kepada usaha kita menangani perubahan iklim,” katanya lagi. 

Orang Asli, harapan terakhir perangi perubahan iklim

Rata-rata di seluruh dunia, masyarakat pribumi atau orang asli makin mendapat pengiktirafan atas sumbangan mereka ke arah usaha pemuliharaan alam.

Semakin ramai ahli akademiK termasuk saintis kajian iklim antarabangsa yang mula memperakui kepentingan pengetahuan pribumi dan tradisional dalam sebarang usaha mitigasi perubahan iklim.

Laporan Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC) 2007 turut menyebut: “pengetahuan pribumi adalah asas yang tidak ternilai dalam merencanakan strategi adaptasi dan pengurusan sumber semula jadi sebagai respons terhadap perubahan dalam alam sekitar dan bentuk lain."

Pengetahuan tradisional masyarakat Orang Asli ini mungkin berguna untuk memahami keberkesanan beberapa strategi adaptasi yang hijau dan menjimatkan kos.

Banyak yang dapat dipelajari daripada masyarakat ini yang telah mengamalkan gaya hidup lestari karbon rendah sejak turun-temurun lagi. 

Tanpa perlu bergantung kepada penghawa dingin, masyarakat ini dapat menikmati kediaman yang dingin dengan membina rumah mereka menggunakan bahan-bahan seperti pokok buluh dan daun nipah yang cepat tumbuh di hutan. 

Kebanyakan barang anyaman masyarakat Orang Asli juga diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan yang mudah terurai berbanding plastik dan produk-produk pakai dan buang yang mencemarkan alam sekitar.

Rumah tradisi masyarakat Orang Asli. Foto: Tan Su Lin

Pengetahuan dan amalan tempatan mengenai alam semula jadi boleh menyumbang pada penyelidikan terhadap kelestarian alam sekitar khususnya membina daya tahan masyarakat terhadap bencana alam dan perubahan iklim.

Ini kerana masyarakat Orang Asli sering hidup dalam persekitaran yang terdedah dan rumit ini merupakan antara golongan pertama yang terkesan akibat perubahan iklim dan bencana alam.

Justeru pengetahuan dan amalan mereka mengenai alam dan iklim termasuk pemahaman ekologi, pemuliharaan persekitaran dan biodiversiti serta sistem ramalan bencana alam dan cuaca merupakan gedung ilmu yang kaya dengan strategi bagi menghadapi bahaya disebabkan persekitaran semulajadi mereka.

Perubahan iklim bukan saja memberi implikasi kepada peningkatan suhu purata dunia tetapi ia juga turut memberi kesan kepada penghasilan dan pembekalan makanan dunia termasuk negara kita.

Hasil tanaman makanan bijirin seperti padi umpamanya yang sangat sensitif kepada iklim dan bencana alam juga berisiko terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Dalam usaha menangani krisis makanan dunia, saintis kini terarah kepada kajian makanan alternatif bagi mempelbagaikan sumber makanan sedia ada. 

Pengetahuan tentang cara memperoleh sumber makanan dari dalam hutan sememangnya sinonim dengan masyarakat Orang Asli dan yang pasti banyak lagi biodiversiti dan kegunaan hasil hutan yang masih belum diketahui. 

Oleh kerana ia berbentuk pengetahuan tradisi turun-temurun yang diajar oleh ibu bapa masyarakat Orang Asli kepada anak-anak mereka, tiada rekod rasmi tentang pengetahuan ini yang dibukukan.

Namun hakikatnya, mereka bukan sahaja menjadikan hutan dan alam semula jadi sebagai tempat tinggal yang aman tetapi memperolehi sumber makanan, ubat-ubatan, air minuman dan semua keperluan hidup.

Masyarakat Orang Asli menggunakan pelbagai sumber alam semulajadi dalam kehidupan seharian termasuk penghasilan kraftangan - Foto: GEC

Sebarang kenaikan suhu pemanasan global juga pasti memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

Unjuran pemanasan iklim dunia dari 1.5°C ke 2°C meningkatkan risiko jangkitan penyakit bawaan vektor termasuk malaria dan demam denggi.

Dengan suhu cuaca meningkat yang mengundang pelbagai penyakit, banyak lagi pengetahuan tentang khasiat dan kegunaan herba dalam ubatan Orang Asli yang masih tidak diketahui umum yang mungkin dapat membantu.

Laporan IPCC 2018 memberi amaran bahawa bumi cuma ada masa sekitar 10 tahun lagi untuk mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah Celsius daripada sebelum zaman perindustrian.

Sebarang kenaikan suhu planet lebih daripada 1.5°C atau pun lebih separuh darjah saja lagi akan memburukkan risiko bencana alam kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah dan pesisir pantai.

Yang pasti, masa kian suntuk untuk menyelamatkan bumi dan masyarakat Orang Asli memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan serta mitigasi kesan perubahan iklim.

Masyarakat orang asli bergantung kepada hutan untuk sumber makanan dan kehidupan - Foto: GEC

Naratif kelompok ini perlu diubah bukan lagi menjadi ‘mangsa’ tetapi penggerak utama dalam usaha memerangi perubahan iklim.

Namun mereka tidak mampu menolong usaha ini jika sering kali terpaksa memikirkan di manakah ‘tempat tinggal’ yang seterusnya jika hutan dan tanah adat mereka terus dirampas.

Sebagai sebahagian masyarakat negara ini, komuniti Orang Asli seharusnya diberi peluang dan ruang serta dibenarkan terlibat sama dalam proses perancangan dan pelaksanaan sebarang projek yang memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

Jika ditanyakan kepada setiap masyarakat Orang Asli, mereka tidak membantah pembangunan.

Malah mereka juga mendahagakan pembangunan, kemajuan dan cara hidup moden yang selesa. Namun apa yang mereka mahukan adalah hak-hak mereka terhadap tanah, budaya dan cara hidup mereka dipelihara.

Pembangunan yang tidak merosakkan alam sekitar juga dituntut dan diingini masyarakat orang asli dan hasrat ini juga selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang turut disokong Malaysia.

Tinggal lagi, kita perlu memastikan kelangsungan hidup masyarakat orang asli dilindungi agar mereka dapat membantu kita meneruskan kelangsungan hidup dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang mendatang.



* Tan Su Lin  ialah seorang penulis yang juga advokasi alam sekitar, pencinta laut dan penggemar selam skuba.

** Sekalung penghargaan kepada Projek Dialog kerana telah membantu menjayakan laporan ini.  

*** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian sidang pengarang Astro AWANI.