NATIONAL
Orang Asli dipandang rendah: 'Sayangnya, anak murid saya juga mempunyai persepsi sama' - Samuel

Samuel Isaiah memberitahu, selepas mengajar pelajar-pelajar Orang Asli, beliau menyedari, kanak-kanak itu turut dibelenggu persepsi yang sama. - Gambar Twitter \ Global Teacher Prize
KUALA LUMPUR:Finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah mengakui dirinya berdepan dengan cabaran untuk mengikis persepsi bahawa Orang Asli selalu dipandang rendah.
"Sayangnya, anak murid saya juga mempunyai persepsi sama," kata guru Sekolah Rendah Runchang, Muadzam Shah, Pahang itu, ketika ditanya mengenai cabaran terbesar mengajar pelajar Orang Asli.
Samuel memberitahu, setelah mendekati dan menjalankan amanah mendidik pelajar-pelajar Orang Asli, beliau menyedari, kanak-kanak itu turut dibelenggu tanggapan yang sama.

Samuel merupakan antara 12,000 calon dari 140 negara di dunia yang disenarai pendek dalam anugerah itu.
Anugerah Guru Global yang pertama kali diperkenalkan 2015 itu adalah anjuran Yayasan Varkey dengan kerjasama UNESCO bagi mengiktirafkan peranan penting yang dimainkan guru dalam masyarakat.
Samuel memberitahu, beliau turut memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada pelajarnya Orang Asli untuk menyimpan impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.
Antara program diperkenalkannya katanya, adalah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai Asli E-Pal, yang mana para pelajar boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Sementara itu, pensyarah Samuel, Dr Mariah Ibrahim dari Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang berkata, Samuel seorang yang sentiasa berdedikasi dan mampu menterjemahkan kurikulum sedia ada bagi memberi makna kepada pelajar.
"Selagi dia (Samuel) tidak mencapai, dia akan terus mendidik seseorang pelajar itu tanpa putus asa," katanya.
Pada masa yang sama katanya, Samuel berjaya mengubah jurang perbezaan antara orang berada dan sebaliknya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami