KUALA LUMPUR: Orang ramai menyambut baik langkah kerajaan meneruskan inisiatif pas perjalanan bulanan My50 untuk kegunaan perkhidmatan rel dan bas Prasarana Malaysia Berhad di Lembah Klang, kerana ia menjimatkan kos dan memudahkan perjalanan di sekitar ibu negara.

Pas My50 menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL, Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT), bas Rapid KL dan bas perantara MRT di Lembah Klang.

Transit Malaysia, satu kumpulan yang memperjuangkan kemudahan akses dan kesejahteraan pengangkutan awam, melihat penerusan pas My50 sebagai satu bentuk galakan kepada orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

Penolong Setiausaha kumpulan itu Cheong Sze Hoong berkata oleh itu, lebih ramai orang mempunyai akses kepada komuniti dan perkhidmatan sambil mempengaruhi orang lain supaya mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam.

"Berdasarkan interaksi kami dengan pengguna pengangkutan awam, mereka yang kurang kuasa berbelanja (seperti pelajar dan individu daripada kumpulan pendapatan rendah) mendapat banyak manfaat daripada My50.

"Selain mengurangkan perbelanjaan pengangkutan bagi mereka yang menggunakannya setiap hari, pengguna juga tidak perlu risau apabila mereka dalam keadaan tergesa-gesa kerana tidak perlu menambah nilai pas berikutan perjalanan tanpa had.

"Langkah itu turut menyumbang kepada orang ramai bertukar daripada menggunakan kenderaan bermotor kepada menaiki pengangkutan awam, yang boleh disifatkan sebagai inisiatif pengurangan karbon yang baik," katanya ketika dihubungi Bernama, dan menambah My50 perlu diperluas kepada perkhidmatan KTM Komuter juga.

Sementara itu, Chin Mee Ying, 70, berkata pas My50 membolehkannya pergi ke pelbagai tempat tanpa perlu berbelanja lebih untuk tiket konsesi, kerana beliau menggunakan LRT dan MRT dari Subang Jaya ke Kajang setiap hari.

"Biasanya saya perlu bayar kira-kira RM10 setiap hari hanya untuk tiket konsesi. Memandangkan saya perlu menjaga ibu saya di Kajang setiap hari, pas ini banyak membantu mengurangkan perbelanjaan. Saya sangat menghargai kerajaan kerana meneruskan inisiatif ini dengan Rapid KL," katanya.

Bagi mahasiswa Multimedia University (MMU) Cyberjaya Lee Weng Hoong, pas My50 menyebabkan beliau mula menggunakan pengangkutan awam dan tidak memandu.

Beliau berkata pas itu membolehkan beliau dan rakannya lebih banyak kebebasan untuk bergerak kerana biasanya mereka akan ke pusat bandar selepas kelas.

"Kami memandu ke KLCC setiap hari, namun sangat memenatkan kerana kesesakan jalan raya yang teruk. Tetapi kini kami hanya mengambil bas untuk ke stesen MRT Cyberjaya City Centre dan menaiki tren itu ke stesen Ampang Park dan menukar LRT untuk ke sana (KLCC).

"Jika saya memandu, saya menghabiskan sekurang-kurangnya RM10 untuk minyak sahaja dan beberapa ringgit untuk tol, tetapi dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL bersama pas itu lebih mudah, hanya RM50 (dibelanjakan) untuk sebulan.

"Saya sangat mengesyorkan semua orang agar mula menggunakan pengangkutan awam kerana ia mudah diakses dan berpatutan," kata Lee.

Pas My50 pada awalnya diperkenalkan bersama pas My100 pada Disember 2018 oleh kerajaan sebagai cara meringankan bebanan kos rakyat, namun ia digantikan sementara dengan pas My30 antara Jun 2020 hingga Disember 2021.

Pada 7 Okt tahun lepas, bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata inisiatif pas bulanan My50 akan diteruskan pada 2023 yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna yang menikmati subsidi hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

-- BERNAMA