Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada supaya tidak mudah dipengaruhi dengan hasutan dan tohmahan yang tidak berasas mengenai kerajaan.

Beliau berkata dengan arus perubahan yang pesat dan amat mencabar dalam zaman berteknologi pada masa kini, banyak isu negatif yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media massa untuk cuba mengelirukan rakyat.

"Isu negatif itu hanya memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini. Oleh itu kita perlu berwaspada dan jangan mudah dipengaruhi dangan tohmahan yang tidak berasas," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perayaan Hotog Kaamatan Kadazan Society Sabah (KSS) 2017, di sini, pada Ahad.

Kurup berkata perpaduan nasional adalah elemen penting yang menjadi tonggak kejayaan negara.

"Malaysia mampu menjadi negara maju melalui agenda transformasi negara menjelang 2050. Namun kejayaan itu bergantung kepada perpaduan nasional serta sokongan padu rakyat ke atas perancangan dan pelaksanaan pembangunan kerajaan.

"Saya percaya dengan perpaduan yang kukuh, negara kita akan mencapai kejayaan dan semangat cintakan negara akan terus bersemarak di kalangan rakyat majmuk," kata menteri itu.

Kurup berkata rakyat perlu sedar bahawa kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini bukan sesuatu yang wujud secara semula jadi.

Sebaliknya, beliau berkata ia adalah hasil usaha dan pengorbanan pemimpin, kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat sejak dahulu lagi.

"Oleh itu sambutan Kaamatan ini merupakan satu elemen yang penting dalam usaha kerajaan menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kita di Sabah harus berbangga kerana kita adalah contoh yang terbaik di Malaysia iaitu rakyatnya yang berbilang kaum dan kepercayaan sentiasa bersatu padu dan hidup dalam suasana penuh harmoni," katanya.

-- BERNAMA