Pengumuman harga baru petrol dan diesel daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Ada yang berpendapat penurunan harga baru petrol dan diesel dapat mengurangkan beban dan dapat membantu perbelanjaan mereka untuk perkara lain.

Tidak kurang juga yang berharap harga barang untuk turun seiring dengan penurunan harga minyak ini.

Bagi penjawat swasta Salman Yahya, 44, lebihan hasil penurunan harga petrol boleh dibelanjakan untuk keluarga.

“Memang ada rasa kurang sebab kita memang banyak menggunakan kenderaan. Nak keluar makan pun kadang-kadang menggunakan kenderaan. Jadi bila harga minyak turun, kos untuk isi minyak tu kuranglah. Perbelanjaan untuk keluarga seperti pelajaran dan simpanan mungkin lebih sedikit.

"Untuk sekarang ini harga minyak dah turun, tapi sepanjang kita perhati harga barang tidak turun. Sebenarnya kuasa pengguna masih kurang lagi. Sepatutnya bila harga pengangkutan minyak turun, harga barang tu sendiri turun,” tambah Salman.

Bagi pemandu pelacong Thayalan Gimuniandy, 44, beliau cukup gembira dengan harga baru petrol yang diumumkan semalam.

“Ini memang membantu rakyat macam saya ini pemandu pelancong dan pemandu van. Hari ini saya rasa cukup gembira dengan harga RM80 sahaja tangki minyak sudah penuh. Banyak perbezaan selepas harga minyak turun, kita dapat tambahan kilometer, itu yang penting," kata Thayalan.

Sementera itu, pekerja menghantar mel Farhan Roslan, 20 berasakan pengguna motor sepertinya dapat merasai kejimatan yang lebih dalam perbelanjaan minyak.

“Bagi mereka yang menaiki motor seperti saya, saya gembira. Kalau dulu contoh kita isi minyak RM10, tapi sekarang antara RM7-RM8, dah penuh. Harga barang pun patut berpatutan memandangkan harga minyak turun, tapi saya bersyukur dengan harga minyak baru ini,” kata Farhan.

Selain penjawat awam dan swasta, golongan pelajar juga merasai penjimatan harga minyak berikutan pengumuman harga baru petrol dan diesel semalam.

Bagi pelajar Universiti Teknologi Petronas Syahirah Syed Omar, 21, hasil penurunan harga petrol boleh dibelajakan untuk kegunaan pelajaran.

“Ada perbezaan bila harga minyak dah turun, banyak duit boleh disimpan untuk kegunaan lain. Perjalanan pun boleh pergi dengan lebih jauh dengan harga yang lebih rendah. Sebagai pelajar, kami akan belanjakan lebih kepada pelajaran, atau benda lain seperti makanan,” kata Syahirah.

Semalam Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam twitnya berkata Penurunan harga minyak berkuatkuasa pada 1 Februari bakal memberi wang lebih untuk perbelanjaan dan menambah pelaburan.

Harga petrol RON95 diumumkan pada Sabtu turun sebanyak 21 sen seliter manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai 1 Februari 2015.

Ia menjadikan harga terkini adalah RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.