KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan merekodkan peratusan penduduk tertinggi yang mengalami masalah kemurungan dan anxiety di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dapatan itu diperolehi menerusi kajian yang dijalankan dengan mengambil pandangan daripada  336,900 responden di seluruh negara.

"Kita menjalankan saringan secara keseluruhan pada 2022 dengan mengambil 336,900 responden dan dalam keputusan itu kita mendapati negeri tertinggi yang mengalami kemurungan dan anxiety ialah di Wilayah Persekutuan.

"Jadi orang wilayah ini banyak masalah dan antara penyebab kepada masalah itu adalah kerana kos sara hidup yang tinggi, golongan B40 juga ramai, miskin bandar serta masalah perhubungan antara ibu bapa, rakan sebaya dan teman," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang bertanya mengenai negeri manakah yang merekodkan jumlah kemurungan tertinggi di Malaysia.

Sementara itu menjawab soalan asal Mohd Sany mengenai langkah-langkah Kementerian Kesihatan (KKM)  dalam mengatasi masalah kesihatan mental yang dialami oleh golongan muda dan juga warga emas, Zaliha berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi permasalahan itu khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Menurutnya, bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga emas, KKM telah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental di klinik kesihatan bagi mengesan awal masalah-masalah berkaitan kesihatan mental seperti demensia (hilang ingatan).

"Selain di klinik kesihatan, klinik desa terpilih juga melaksanakan inisiatif saringan kesihatan termasuk kesihatan mental kepada warga emas.

"Pada masa yang sama, KKM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Demensia bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan demensia. Komponen kesihatan mental juga terkandung dalam Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 yang sedang dikemas kini," jelasnya. 

'Orang Wilayah banyak masalah' - Menteri Kesihatan


Sementara itu Zaliha memberitahu, kebanyakan masalah kesihatan mental yang dihadapi golongan muda termasuk remaja dan belia adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor sosial seperti masalah kewangan, masalah perhubungan, buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan substans, rasa rendah diri dan jangkaan yang tinggi terhadap diri sendiri yang menyumbang kepada tekanan yang tinggi, keresahan dan kemurungan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata KKM menyediakan beberapa kemudahan seperti di bawah:

1. Perkhidmatan kesihatan mental disediakan di 1,161 klinik kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) dan empat  institusi mental yang meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

2. Program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan yang meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat (KPM) dan Modul Kesihatan Mental Remaja (KKM). Pelajar yang disaring dan dikenal pasti mengalami masalah emosi atau tingkah laku akan dirujuk untuk penilaian dan rawatan selanjutnya.

3. Program PEARL (Program Ekspresi Anak Remaja Lestari) –yang merupakan kolaborasi antara KKM dengan KPM bertujuan untuk meningkatkan kemahiran daya tindak (coping skills) dan daya tahan (resilience) dalam kalangan pelajar bagi menangani masalah seperti buli atau tingkah laku berisiko.

4. KKM juga telah mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam pelaksanaan Program Siswa Sihat (PROSIS) di universiti-universiti awam dan swasta yang turut mempunyai elemen saringan dan intervensi kesihatan mental.

5. KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam mempromosikan kesihatan mental melalui Hari Sukan Negara dan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Selain itu, KKM juga berkolaborasi dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Malaysia (IYRES) bagi pelaksanaan kajian berkaitan kesihatan
mental dalam kalangan belia.

6. Kolaborasi lain adalah bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melaksanakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di mana kaunselor kedua-dua Kementerian bekerjasama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang holistik.

7. KKM juga melaksanakan Kempen Let’s TALK Minda Sihat yang merupakan satu ‘smart partnership’ melibatkan agensi kerajaan serta pihak NGO dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental.

8. Selain itu, KKM turut melaksanakan latihan kepada sukarelawan-sukarelawan turut diperkasakan dengan ilmu bantuan awal psikologi melalui latihan kesihatan mental agar dapat.