PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan bahawa tindakan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam berita tidak benar mengenai COVID-19 dan Proklamasi Darurat dan bukannya kerana kritikan.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mendengar pandangan dan kritikan pelbagai pihak sama ada anggota parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menyatakan kerisauan tentang ordinan itu.

"Saya ingin ulang bahawa ordinan ini berkaitan berita tidak benar tidak sama sekali ditujukan untuk orang politik. Kalau dia mengkritik saya atau kerajaan berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan soal vaksin atau darurat, kritikan itu berbeza dengan berita palsu.

"Kami akan pastikan bahawa yang diambil tindakan itu ialah berita palsu, bukan kritikan. Dalam ehwal demokrasi memang boleh mengkritik namun kalau ia melibatkan berita palsu maka tidak kira siapa yang menyebarkannya boleh kena sesiapa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku "Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara' dan Kad Laporan Setahun KKMM, di sini hari ini.

Katanya, ordinan itu bertujuan melindungi rakyat daripada tertipu dengan berita palsu dan bukannya menyelamatkan kerajaan.

Saifuddin berkata ordinan itu hanya untuk melindungi rakyat daripada tertipu dengan berita tidak benar sehingga tidak mahu mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 kerana tertipu dengan dakwaan vaksin buatan China menggunakan bahan haram atau vaksin daripada negara lain tidak selamat.

"Soal nak mengkritik kerajaan, saya atau KKKMM ini ehwal demokrasi, bukan itu matlamat kita," katanya.

-- BERNAMA