GEORGE TOWN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang diarah memantau tapak perkhemahan komersial dan glamping di negeri ini bagi memastikan berada dalam keadaan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata Pulau Pinang juga akan mengkaji semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan glamping memandangkan konsep percutian itu masih baharu di negara ini.

"Insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah menyedarkan kita dan pihak kami akan mengarahkan PBT serta pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan pemantauan di tapak perkhemahan dan tapak glamping bagi mengelak berlaku sebarang insiden tidak diingini di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik tapak perkhemahan dan tapak glamping di negeri ini juga diminta sentiasa memastikan keselamatan pengunjung dan mendapatkan lesen masing-masing daripada PBT.

Katanya ketika ini pihaknya tidak mempunyai jumlah sebenar tapak perkhemahan komersial dan glamping di negeri ini memandangkan industri tersebut masih baharu.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 16 orang, 17 masih hilang

"Kita akan arahkan pihak berkaitan untuk kaji dan semak semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan tapak glamping di negeri ini, sepatutnya sesuatu pembangunan di mana-mana kawasan seperti itu (tapak perkhemahan dan glamping) perlu mendapat kelulusan daripada PBT,'' katanya.

Setakat 1 tengah hari tadi, angka kematian akibat tanah runtuh di Batang Kali meningkat kepada 16 orang manakala 17 lagi masih hilang.

Terdahulu pada sidang akhbar itu, Yeoh berkata Pulau Pinang akan memperkenalkan semula perarakan Chingay, tarian singa dan naga secara fizikal pada 1 Jan depan sebagai usaha mempromosikan industri seni budaya dan pelancongan tempatan.

Beliau berkata perarakan itu bermula 7 malam dari Jalan Johor hingga ke Lebuh Light dan akan tiba di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 9 malam yang melibatkan 13 pasukan Chingay, 15 pasukan tarian singa dan enam pasukan tarian naga.

"Perarakan itu telah dihentikan selama tiga tahun akibat penularan wabak COVID-19 dan kali ini ia kembali semula sebagai satu simbol penyatuan serta perpaduan rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang," katanya dan menambah orang ramai juga akan disajikan dengan pelbagai acara kebudayaan seperti tarian India, Melayu dan pancaragam sekolah.

-- BERNAMA