GEORGE TOWN: Pulau Pinang meluluskan Pewartaan Perintah Kawalan Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) bagi membendung risiko penularannya daripada menjangkiti industri ternakan khinzir di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata pewartaan itu diluluskan dalam Mesyuarat Exco semalam selepas mengambil kira beberapa faktor berkaitan ASF.

"Mesyuarat Exco semalam meluluskan pewartaan itu antaranya (sebab) ada ladang komersial khinzir di negeri sempadan iaitu Perak telahpun dijangkiti ASF pada 28 Mac lepas.

"Pewartaan perintah ini akan memberikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang kuasa yang lebih menyeluruh bagi mengawal penularan penyakit ASF dalam ternakan babi dengan segera seperti dinyatakan dalam Seksyen 36 Akta Binatang 1953 (Akta 647)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, JPV mengesahkan kejadian penyakit ASF pada babi hutan di Bidor dan Sungkai, Perak serta Jerantut, Pahang dengan kejadian terbaharu pada 28 Mac lepas membabitkan sebuah ladang komersial ternakan khinzir di Bidor, Perak yang disahkan positif penyakit berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JPV Pulau Pinang Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati setakat ini tiada kes jangkitan penyakit ASF dikesan di ladang ternakan khinzir di negeri itu.

Katanya pihaknya memohon untuk mewartakan Perintah Kawalan Penyakit ASF itu kerana setakat ini belum ada kes ASF di Pulau Pinang dan pihaknya sedang menunggu keputusan tersebut secara bertulis untuk melaksanakan pewartaan.

"Apabila perintah ini telah diwartakan, ia dapat mengawal penyakit ASF ini masuk dan merebak ke Pulau Pinang, selain ternakan khinzir dari negeri-negeri yang mempunyai kes positif ASF juga tidak dibenarkan keluar dan masuk ke sini (Pulau Pinang)," katanya.

Beliau berkata menerusi Subseksyen 36 (2) Perintah Kawalan Penyakit ASF Negeri Pulau Pinang 2022, Pengarah JPV Negeri boleh menarik balik sebarang lesen atau permit bagi pengimportan sebarang binatang babi atau karkas babi yang telah dikeluarkan di bawah akta ini.

Menurutnya Pengarah JPV negeri juga boleh mengenakan apa-apa syarat tambahan pada lesen atau permit berkenaan atau membuat apa-apa peruntukan yang mungkin diperlukan untuk mencegah kemasukan atau perebakan, mengawal atau membasmikan penyakit berkenaan.

-- BERNAMA