Skip to main content

Malaysia

P Pinang rangka pelan menyeluruh tangani isu keselamatan Jalan Berapit

Sumber: PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG
Zairil berkata, Jalan Berapit merupakan laluan di bawah seliaan JKR negeri dan tertakluk kepada Arahan Teknik Jalan (ATJ), justeru, cadangan pembinaan bonggol jalan di lokasi itu tidak dibenarkan atas faktor keselamatan serta implikasi perundangan.
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri merangka beberapa langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Jalan Berapit di sini, susulan aduan orang ramai berhubung isu keselamatan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, antara langkah jangka pendek akan dilaksanakan ialah pengecatan garisan jalan jenis yellow transverse bar berwarna kuning dan rumble strip berwarna merah bagi memberi amaran visual serta kesan getaran kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan.

“Selain itu, pemasangan papan tanda jalan termasuk tanda berhenti, larangan masuk, petunjuk arah serta amaran kawasan kemalangan turut dicadangkan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jalan Berapit merupakan laluan di bawah seliaan JKR negeri dan tertakluk kepada Arahan Teknik Jalan (ATJ), justeru, cadangan pembinaan bonggol jalan di lokasi itu tidak dibenarkan atas faktor keselamatan serta implikasi perundangan.

Zairil berkata, langkah lain yang turut dicadangkan ialah pengecatan garisan yellow box bagi memastikan kelancaran trafik di persimpangan, pengecatan lintasan pejalan kaki untuk meningkatkan keselamatan penduduk setempat serta pemasangan tiang penghalang atau bollard bagi menghalang motosikal daripada menceroboh laluan pejalan kaki.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Zairil berkata, JKR negeri akan mengemukakan permohonan rasmi untuk menjalankan Kajian Keselamatan Jalan Raya bagi mengenal pasti kawasan titik hitam atau blackspot serta menilai kaedah rawatan kejuruteraan yang sesuai.

“Antara cadangan yang akan diteliti menerusi kajian itu ialah pelaksanaan sistem Left-In/Left-Out (LILO) yang hanya membenarkan pergerakan masuk dan keluar ke arah kiri bagi mengurangkan pergerakan lintasan berisiko tinggi.

“Cadangan lain termasuk pembinaan median jalan sebagai pemisah fizikal aliran trafik bertentangan bagi mengurangkan risiko pelanggaran hadapan serta mengawal pergerakan kenderaan dengan lebih teratur,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua cadangan itu tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa teknikal yang berpandukan garis panduan dan Arahan Teknik Jalan sedia ada.

Zairil turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi had laju yang ditetapkan serta mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Beliau berkata, keselamatan jalan raya bukan sahaja bergantung kepada infrastruktur yang disediakan, malah turut dipengaruhi tahap disiplin dan keprihatinan setiap pemandu.

“Sikap pemanduan berhemah adalah faktor utama dalam mencegah kemalangan serta melindungi nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement