KUALA TERENGGANU: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memberi penjelasan kepada kerajaan Terengganu berhubung Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri yang memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata setakat ini, hanya Terengganu satu-satunya negeri di Semenanjung yang masih belum menyertai perjanjian dengan PAAB.

"Kita akan buat penjelasan agar mereka (pimpinan kerajaan Terengganu) dapat maklumat terkini... mungkin berlaku salah faham tentang konsep perjanjian ini kerana ia telah diperkembangkan lagi dari yang asal dulu.

"Kita berharap Terengganu boleh sertai PAAB kerana kita tahu kekangan kewangan negeri untuk membina dua atau tiga loji yang diperlukan dan mereka belum ada dana yang boleh digunakan.

"Kita di PAAB akan sediakan dana untuk bantu Terengganu," katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis meraikan 270 ibu tunggal dalam Iftar Ramadan di Parlimen Kuala Nerus pada Jumaat.

Sebanyak RM54,000 diperuntuk kepada golongan itu sebagai persediaan menyambut Aidilfitri dan PAAB juga akan memberi sumbangan kepada lebih 200 anak yatim dari maahad tahfiz dan madrasah di Kuala Lumpur pada 21 April sebagai antara program tanggungjawab sosial korporat agensi berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata masalah bekalan air di Terengganu juga berpunca daripada sistem perpaipan yang sudah uzur dan memerlukan peruntukan beratus juta untuk menukarkannya kepada paip baharu.

"PAAB ada kemampuan kewangan yang belum digunakan sepenuhnya maka sangat rugi kalau tidak dimanfaatkan," katanya.

PAAB adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Ia bagi membantu kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung dengan kadar pembiayaan yang berdaya saing.

-- BERNAMA