Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.

Katanya, pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta Mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat daripada tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.

Nur Jazlan berkata PAC secara sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding siasatan terhadap syarikat 1MDB dalam satu perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu.

"Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC yang terdiri daripada lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

“PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan EPU sudah dihantar pada 6 Mei lalu dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.

Jelas beliau, EPU ada menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu selepas surat panggilan dikeluarkan pada 6 Mei lalu dengan memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus syarikat 1MDB.

Bagaimanapun Nur Jazlan berkata, PAC tetap mahu EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat berkenaan selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

“Kita sudah menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini, bersama-sama dengan MoF bagi memulakan prosiding.

“PAC berpendapat jawatankuasa ini tidak boleh menunggu laporan Ketua Audit Negara yang turut mengaudit syarikat ini atas arahan Kabinet kerana terlalu banyak persepsi serta spekulasi di kalangan rakyat yang semakin bimbang dengan status operasi serta kewangan dana pelaburan kerajaan ini.

“Pada masa sama, perlu diingatkan bahawa PAC yang dianggotai Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang turut diwakili pegawai daripada kementerian serta jabatan termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Akauntan Negara dan EPU,” katanya.

Nur Jazlan berkata, PAC adalah jawatankuasa paling bebas dan adil yang boleh memanggil serta menyiasat syarikat 1MDB kerana ia bukan berada di bawah cabang eksekutif iaitu Kabinet sebaliknya adalah jawatankuasa di bawah cabang legislatif iaitu Parlimen sebagai penggubal undang-undang dan dasar tertinggi negara.

Selain itu, katanya, PAC tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menamatkan prosiding syarikat 1MDB ini sebaliknya akan menyiasat keseluruhan isu yang dibangkitkan mengenai tadbir urus serta pelaburan syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, Nur Jazlan berkata, PAC berharap semua pihak memberikan kerjasama terhadap prosiding syarikat 1MDB bagi memastikan sebarang persepsi negatif mengenai dana pelaburan berkenaan dapat dipulihkan sekali gus memberikan gambaran terbaik terhadap usaha kerajaan menubuhkan syarikat berkenaan pada 2009.