Skip to main content

Malaysia

PAC panggil Mindef, perjelas isu peluru berpandu Norway

SEPANG, 11 Jun -- Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media selepas lawatan kerja PAC berhubung pengurusan lapangan terbang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.  --fotoBERNAMA
Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Mindef bagi menghadiri sesi taklimat berkenaan yang akan turut melibatkan Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia. - Gambar/ BERNAMA

SEPANG: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 23 Jun ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway kepada Malaysia. 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Mindef bagi menghadiri sesi taklimat berkenaan yang akan turut melibatkan Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia. 

Katanya, PAC sebelum ini menerima surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang memaklumkan perkembangan mengenai status isu berkenaan. 

"Sebaik sahaja keputusan dibuat oleh kerajaan Norway, saya menerima panggilan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang memaklumkan perkara itu. 

"Bagaimanapun, terdapat beberapa perkembangan baharu yang dimaklumkan kepada saya dan sebab itu PAC akan memanggil pihak Mindef untuk hadir memberikan penjelasan serta taklimat kepada PAC dan Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada Khamis. 

Lawatan itu adalah sebahagian daripada prosiding yang sedang dijalankan PAC bagi melengkapkan laporan berhubung pengurusan lapangan terbang awam negara. 

Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu. 

NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.

Pembatalan peluru berpandu berkenaan menjejaskan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) negara.

Must Watch Video

Advertisement