SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mempertahankan tindakan jawatankuasa itu mendedahkan laporan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) kepada umum.

Menurutnya, PAC menghormati keperluan untuk menjaga sensitiviti keselamatan negara.

Namun, beliau tidak akan membenarkan nama keselamatan negara diguna sewenang-wenangnya dan semata-mata untuk menyekat rakyat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

“Kami sekadar melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa ini dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

“Dalam isu LCS, PAC telah membentangkan laporan berdasarkan kepada fakta, dokumen dan keterangan yang diperoleh jawatankuasa ini sepanjang prosiding.

“Perbincangan rakyat dalam isu ini menunjukkan betapa rakyat mahu mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam Projek LCS,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

Jelas Kah Woh, PAC yang bipartisan sekadar melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa berkenaan dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

“PAC mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) untuk memeriksa segala kira-kira kerajaan Malaysia termasuk apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa ini patut diperiksa.

“Semua saksi yang hadir di hadapan PAC mengetahui bahawa segala maklumat yang dinyatakan dalam prosiding PAC akan direkodkan dalam rakaman percakapan bertulis atau dikenali sebagai ’hansard’.

“Selalunya, pembentangan saksi akan dikendalikan melalui ‘slide’ pembentangan yang disediakan oleh saksi sendiri.

“Laporan PAC akan disediakan berdasarkan segala keterangan yang diberikan semasa Prosiding PAC, iaitu segala yang terkandung dalam ‘hansard’ dan ’slide’ pembentangan saksi-saksi,” jelasnya.

Tambahnya, Ahmad Zahid selaku bekas Menteri Pertahanan telah hadir di hadapan PAC pada 25 Oktober 2021 bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz.

‘Hansard’ Ahmad Zahid diserahkan kepadanya melalui pos berdaftar 4 Januari 2021 berdasarkan PM83(10) PPMMDR dan beliau diberikan tempoh masa tujuh hari untuk membuat sebarang pembetulan pada kenyataan yang diberikan.

“Untuk rekod, Ahmad Zahid tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang beliau hadiri.

“Sekiranya mana-mana ’hansard’ yang mempunyai sebarang isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara dan dicadangkan untuk pindaan atau pemotongan oleh saksi, PAC akan berbincang sama ada hendak membenarkan permohonan tersebut.

“Ini termasuklah mendapatkan pandangan undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang turut hadir dalam setiap prosiding PAC sebagai ex-officio PAC.

“Dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi-saksi yang mengemukakan permohonan sebegini,” jelasnya.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.