Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak mempunyai kuasa untuk memecat ahlinya.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata sebagai ahli yang dilantik oleh Parlimen, segala urusan keahlian haruslah dirujuk semula kepada Parlimen.

"Pemecatan tidak boleh dibuat sesuka hati kerana semua urusan berkenaan ahli harus dirujuk kepada Parlimen," kata beliau dalam satu sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan dibuat bagi menjelaskan kedudukan beliau selepas ahli veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan komitmennya dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Kit Siang turut meragui setakat mana Hasan akan bersifat neutral susulan kenyataan beliau ingin berbincang mengenai status Tony Pua dalam mesyuarat PAC seterusnya.

Hasan berkata, kenyataan Kit Siang itu sebut berbaur politik dan beliau tidak pernah menyatakan Tony Pua akan dipecat daripada PAC.

"Apabila ditanya, saya menjawab. Jadi, kedudukan Tony Pua akan dibincangkan sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat," kata Hasan.