KUALA TERENGGANU: Sebanyak 30 anggota flying squad Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Terengganu akan digerakkan ke beberapa kawasan bersasar di negeri itu bagi memastikan tiada yang tercicir dalam proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pengarahnya Marlini Sahul Hamid berkata antara lokasi sasaran skuad itu ialah kawasan pedalaman dan luar bandar yang sukar mendapat akses Internet.

"DOSM Terengganu merancang memulakan operasi flying squad ke kawasan pedalaman Orang Asli seperti di Kampung Sungai Pergam di Kemaman, Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Kampung Keruak di Besut bermula pada minggu ketiga Januari ini.

"Langkah itu bagi memastikan tiada penduduk di negeri ini yang berumur 18 tahun dan ke atas tercicir daripada melengkapkan pengisian maklumat profil individu melalui portal PADU," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Selain penugasan flying squad, Marlini berkata pada fasa pertama pendaftaran PADU ini, pihaknya turut memfokuskan kepada komuniti setempat dan penjawat awam di seluruh negeri itu dengan membuka kaunter pendaftaran di 13 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) terpilih di kesemua lapan daerah.

Menurutnya, PEDi berkenaan antaranya termasuklah PEDi Pasir Akar dan PEDi Kampung Lay Out di daerah Besut, PEDi Kampung Che Lijah (Dungun), PEDi Felda Jerangau Barat (Hulu Terengganu), PEDi Kampung Geliga dan PEDi Felda Kerteh 5 (Kemaman).

"PEDi yang lain adalah di Felda Belara dan PEDi Rumah Awam Kos Rendah (Kuala Nerus), PEDi Kampung Petai Bubus dan PEDi Pangsapuri Rakyat Desa Keluarga Chendering (Kuala Terengganu), PEDi Kampung Pantai Merchang dan PEDi Pengkalan Berangan (Marang) serta PEDi Kampung Gong Batu (Setiu).

"Bagi kumpulan penjawat awam, kaunter fizikal PADU turut dibuka di DOSM Terengganu dan Wisma Perkeso, manakala bantuan pengisian di peringkat daerah pula, Pejabat Operasi Besut dan Pejabat Operasi Dungun juga dibuka," katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 19,126 penduduk Terengganu telah mendaftar dengan PADU.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

-- BERNAMA