MALAYSIA
'Pagi kerja pasar, malam jual burger'

Suhardi bekerja menjual ayam di pasar pada waktu pagi manakala sebelah malam pula menjual burger. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Meskipun melakukan dua pekerjaan untuk menyara empat orang anak namun pendapatan bulanan masih tidak mencukupi sehingga terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sementara menunggu gaji.
Ringkasan AI
- Suhardi Abd Hamid, yang bekerja menjual ayam di pasar pada waktu pagi dan menjual burger pada waktu malam, masih menghadapi kesukaran untuk mencukupi keperluan bulanan keluarganya yang memerlukan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan. Dia terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sementara menunggu gaji.
- Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan Suhardi perlu bijak mengurus perbelanjaan dan kadangkala terpaksa menangguh pembayaran bil air dan elektrik. Harga bahan mentah adalah sama di bandar dan luar bandar, menyebabkan pendapatan yang sama diperlukan di kedua-dua kawasan.
- Suhardi berpendapat bahawa pekerja di luar bandar juga perlu menerima gaji setaraf dengan pekerja di bandar kerana harga barangan keperluan adalah sama. Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, menyatakan bahawa pendapatan gaji sebenar di Malaysia telah merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu, dan gaji graduan masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.
"Pagi kerja di pasar ayam, petang saya jadi penghantar makanan, pernah juga kerja kedai makan, kemudian dalam setahun ini bekerja sampingan menjual burger pula.
"Kalau tanya rakan-rakan pun, kebanyakan memang tak ada simpanan sebab kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, sedangkan pendapatan hanya sekadar cukup makan.
"Dengan duit yang ada, kena bijak urus perbelanjaan. Kadangkala terpaksa tangguh bayar bil air, elektrik, ada masa juga terpaksa meminjam duit kawan-kawan. Untuk hidup selesa, saya perlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan," katanya yang berasal dari Selama, Perak.
Ujar Suhardi, kos sara hidup yang semakin meningkat juga menyebabkan dia 'tiada masa untuk sakit', kerana kudratnya diperlukan untuk mencari duit.
Menurutnya, kerja di bandar atau luar bandar memerlukan pendapatan yang sama kerana harga bahan mentah adalah sama di mana-mana kawasan.
"Contohnya, harga beras di luar bandar atau di Kuala Lumpur sama saja, begitu juga bahan mentah, malah makan di kedai pun harga sama," katanya.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami