KUANTAN: Program hari tanpa kenderaan akan diadakan di beberapa laluan utama bandar raya ini setiap bulan bagi menyokong inisiatif menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050, selain mempromosi gaya hidup sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata program 'Kuantan Car Free - Green Hour 2022' itu melibatkan penutupan jalan selama dua hingga tiga jam bagi membolehkan aktiviti riadah berlangsung.

"Ini merupakan minggu pertama dan saya yakin akan mendapat sambutan dengan pelbagai aktiviti sihat seperti berbasikal, senaman aerobik, di samping menghidupkan kesedaran kepada rakyat tentang pentingnya kita menjaga alam sekitar dengan pengurangan pelepasan karbon," katanya kepada pemberita selepas meninjau program tersebut di sekitar Art Street di sini, hari ini.

Beliau berkata antara jalan terlibat ialah Jalan Mahkota dan Jalan Besar, manakala tarikh pelaksanaan program itu akan ditentukan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) termasuk penganjuran aktiviti yang sesuai.

Mohd Sharkar berkata pemilihan jalan utama tersebut juga bertujuan mempromosi lorong Art Street di jalan tersebut yang telah dihiasi dengan pelbagai lukisan berkaitan negeri ini, seperti lukisan Naga Tasik Chini dan gajah, selain 'pasar karat' atau pasar menjual barangan antik dan terpakai.

Beliau juga berpandangan program itu boleh diperluas ke seluruh daerah jika mendapat sambutan baik masyarakat.

-- BERNAMA