KUALA LUMPUR: Bekalan air di 13 kawasan yang terjejas berikutan insiden paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini sejak semalam, pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata syarikat itu mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Tiga belas kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual itu ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.

BACA: Paip pecah: 13 kawasan sekitar KL alami gangguan bekalan air

Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre menerusi aplikasi Air Selangor.

Sebelum ini dilaporkan, kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di MRR2 telah siap dilaksanakan pukul 12.30 tengah malam tadi.

-- BERNAMA