Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global Datuk Saifuddin Abdullah malam tadi mempertahankan Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung kononnya bekas perdana menteri itu ada kaitan dengan gangsterisme.

“Sudah tentu saya tahu tentang Pekida. Dalamnya ada beberapa kumpulan yang berlainan. Walaupun Pak Lah ialah Ayahanda Pekida, dia daripada kumpulan yang bukan gangster,” kata Saifuddin menjawab satu soalan pada sebuah forum pasca PRU-13 di sini, malam tadi.

Seorang panelis lain, aktivis Hishamuddin Rais sebelum itu mendakwa bahawa geng merupakan sebahagian daripada politik Malaysia sejak 1960-an.

“Geng-geng telah ditubuhkan dan ditaja (oleh parti politik). Bukan mengejutkan kalau kumpulan seperti Perkasa ditaja. Ketua Pekida pula tidak lain tidak bukan ialah Abdullah sendiri,” kata Hishamuddin.

Pekida, sebuah NGO yang terkenal sebagai kumpulan kebajikan kenduri kahwin dan kematian, tekah lama dikaitkan dengan gansterisme. Ia bagaimanapun dinafikan oleh pertubuhan itu yang mendakwa ia mungkin kumpulan serpihan.

Penasihat Pekida Wilayah Persekutuan Datuk Hamzah Daud baru-baru ini memberitahu portal berita FreeMalaysiaToday bahawa ada pihak yang telah keluar daripada Pekida dan menggunakan nama kumpulan itu untuk memukul dan mengugut.

Beliau menegaskan bahawa Pekida yang wujud sejak 1967 ialah sebuah kumpulan kebajikan yang terdiri daripada sukarelawan.

“Pekida macam bapa. Kalau anak buat salah yang buruk namanya bapa," katanya.

Satu kajian mengenai NGO yang dibuat selama lima tahun oleh seorang sarjana PhD Perancis, Sophie Lemiere mendapati bahawa Pekida setia kepada raja, Islam dan orang Melayu.

Bagaimanapun Lemiere juga mendapati Pekida merupakan sebahagian daripada rangkaian NGO yang “memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian aktivitinya dan mendapat dana daripada parti pemerintah.”

Lemiere, sarjana di Institut Penyelidikan Kontemporari Asia Tenggara-Pusat Penyelidikan Saintifik Nasional Perancis (IRASEC-CNRS) di Paris juga mendapati "matlamat utama kumpulan itu ialah kuasa, keuntungan dan wang yang membayangkan anggotanya terlibat dalam kegiatan haram dan mungkin menggunakan kekerasan."

Kajiannya bertajuk 'Gangsters and Masters: Connivance Militancy in Contemporary Malaysia' melibatkan penyelidikan sejak 2008 sehingga April tahun lalu.