“Saya terlupa...”

Demikian kata calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, selepas beliau tidak dibenarkan memasuki perkarangan Pusat Pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, kerana memakai baju korporat tertera logo dacing, lambang Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, beliau tidak berniat untuk melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya memang terlupa sebab saya tadi keluar selepas solat Subuh pergi jumpa pengundi, dan saya minum di kedai Pak Cik Jaafar, kemudian saya bertemu dengan beberapa pengundi Taman Kurnia.

“Selepas itu, saya terus ke sini. Tidak teringat (mengenai) baju dan terus ke sini (IPD Muallim).

“Baju korporat (BN) ada lambang logo parti,” katanya kepada pemberita di pusat tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini, hari ini.


Jelas Mohd Zaidi, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi sebelum beliau menukar baju di dalam kenderaan di sekitar perkarangan IPD Muallim.

“Baju memang ada ‘spare’ dalam kereta tetapi nak tukar depan (IPD Muallim) malu lah. Saya tukar tepi jalan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen yang berbaki beberapa hari lagi, Mohd Zaidi berkata, fokus beliau adalah kepada pengundi dalam kumpulan sasar.

“Saya juga bertemu dengan orang-orang berpengaruh di sini (ketua masyarakat) yang mana mereka boleh mempengaruhi pengundi dan komuniti-komuniti setempat serta anak muda.

“Jadi, itu yang kita fokuskan pada pecutan terakhir untuk tarik pengundi,” katanya.

Terdahulu, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi turut hadir meninjau proses pengundian awal di IPD Muallim.

Pengundian awal bermula pada jam 8 pagi sehingga 5.30 petang membabitkan seramai 267 pengundi awal polis.