Isu kesihatan mental merupakan perkara yang perlu dititikberatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, sebilangan besar daripada masyarakat mula mengambil inisiatif mendengar nasihat daripada pakar secara dalam talian atau mendapatkan maklumat di internet.

Namun begitu, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai akses kepada teknologi? Tidakkah mereka juga memerlukan sokongan mental daripada pihak tertentu?

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Amer Siddiq Amer Nordin, bagi memajukan negara agar tidak ketinggalan, penting untuk menggunakan kepakaran-kepakaran dari pihak universiti.

Katanya, dalam tempoh PKP ini, jaringan internet dilihat terlalu kompleks memandang ada kawasan yang tidak mempunyai jaringan internet dan penggunaan pakar-pakar dari universiti dilihat langkah tepat.

“Terdapat satu program yang dinamakan 'University for Society' yang hendak dilancarkan sebelum ini, tetapi program itu terbantut kerana PKP.

“Bagi saya, dengan inisiatif ‘University for Society’ itu, ada 22 buah universiti di seluruh Malaysia yang mempunyai Jaringan Industri dan Masyarakat (usaha memperkukuhkan fungsi Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Pengembangan Universiti yang selari dengan keperluan semasa negara.

“Jadi, saya rasa universiti-universiti tersebut boleh bergabung tenaga dan juga akan melakukan aktiviti-aktiviti bersama komuniti di lapangan,” jelas Dr Amer.

Beliau berkata demikian sewaktu melakukan perbincangan dalam talian bertajuk Mental Illness And Health Concern Surrounding COVID-19 yang dihoskan oleh penyampai berita dan wartawan Astro AWANI, Cynthia Ng pada Jumaat malam.

Selain menggunakan tenaga universiti dalam membantu masyarakat yang tidak mempunyai akses dan kemudahan terhadap media sosial, Dr Amer turut menyarankan beberapa pendekatan yang boleh diamalkan ketika krisis ini.

Mengambil contoh China, kata Dr Amer, ketika perintah berkurung rakyat negara itu mengalami situasi sama yang mana tidak semua kawasan mempunyai akses kepada media sosial.

“Bukan sahaja mereka menggunakan medium media sosial tetapi mereka juga ada menggunakan kain rentang supaya orang tahu apa yang perlu dilakukan,” tambah Dr Amer.

Pendekatan yang sama turut dilaksanakan di New Zealand, semasa PKP dilaksanakan di negera tersebut.

Kata Dr Amer, New Zealand turut mewar-warkan maklumat dengan menerbitkan bahan fizikal terutama kepada rakyat yang tidak mempunyai akses internet.

“Jadi, saya rasa kita perlu peka akan semua aspek ini dalam kita punya program menuju ke hadapan dan saya rasa ada kemampuan dari segi agensi-agensi yang sedia ada supaya kita dapat membantu mereka yang tidak dapat maklumat daripada pihak tertentu,” jelas beliau lagi.

Dr Amer berkongsikan pendapat itu sewaktu perbincangan bersama dua lagi pakar perubatan terkenal negara lain iaitu pelatih pakar bedah Imperial College London (Imperial), Dr Nur Amalina Che Bakri dan Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Beni Isman Rusani pada Jumaat malam.