Sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat yang menyokong keganasan Israel terhadap Palestin, Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Malaysia segera menghentikan perbincangan mengenai isu perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat juga mendesak supaya kerajaan tidak menandatangani perjanjian TPPA kerana Amerika Syarikat memberikan sokongan padu terhadap kekejaman Israel membunuh lebih 150 warga Palestin, termasuk orang awam dan kanak-kanak.

"Pakatan Rakyat juga mendesak agar diadakan satu sidang khas parlimen untuk membincangkan isu serangan keatas Palestin sebagaimana yang telah dibuat pada Januari 2009, demi mendengar suara rakyat tentang isu ini," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Kenyataan turut disokong naib pengerusi DAP Teresa Kok, dan naib presiden PKR ‎Tian Chua.

Sebelum ini, pada 2009, Dewan Rakyat pernah mengadakan sidang khas Parlimen bagi mengecam tindakan ganas rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Sidang selama lapan jam itu juga bersetuju menerima 10 usul yang dikemukan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Ahmad Badawi.

Tuntutan tersebut antaranya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan satu tribunal jenayah antarabangsa menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Mustafa berkata, Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat juga mendesak supaya kerajaan Malaysia memanggil semula duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebagai tanda protes yang paling jelas.

Selain desakan tersebut, mesyuarat itu juga menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji semula keberkesanan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscomm) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) selepas insiden pencerobohan di Pulau Mabul Sabtu malam lalu.

"Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Korporal Abdul Rajah Jamuan, anggota polis marin yang terbunuh sewaktu serangan hendap dan mendoakan keselamatan Konstabel Zakia Aleip yang dipercayai diculik," katanya.