Pakatan Rakyat meminta kerajaan supaya diberi laluan menyertai Jawatankuasa Pantauan KLIA2 di bawah Kementerian Pengangkutan yang telah dibentuk pada semalam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam satu sidang media di Parlimen hari ini menjelaskan bahawa langkah untuk menyertai jawatankuasa yang diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi itu adalah untuk memastikan tiadanya penundaan tarikh pembukaan KLIA2 sekali lagi seperti yang berlaku sekarang.

“Sehingga hari ini, pelawaan kami untuk meminta ditunjukkan kemajuan pembinaan di KLIA2 masih lagi belum dipenuhi,” kata Nurul Izzah kepada pemberita.

Menurutnya walaupun alasan kelewatan yang dinyatakan itu disebabkan terdapat banyaknya perubahan-perubahan fizikal pembinaan seperti landasan lapangan kapal terbang itu terpaksa dipanjangkan, perkara tersebut harus dipersalahkan kepada konsultan yang dilantik oleh MAHB sendiri.

“Yang harus dipersalahkan malah perlu disiasat dalam jawatankuasa ini termasuklah konsultan yang dipilih oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk menyelenggara kesemua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan KLIA2 iaitu Konsultan KLIA Consultancy Services Sdn Bhd,” katanya lagi.

Konsultan tersebut yang mempunyai 30 peratus pegangan dari Kementerian Kewangan ini dilihat terlalu longgar dalam menjalankan tugasan mereka terutama dalam perlaksanaan syarat-syarat pembinaan.

“Segala permintaan para kontraktor dipenuhi sehingga menyebabkan kelewatan projek ini dan semua ini wajib dijawab. Tidak hanya cukup dengan jawapan dari menteri kerana kami juga turut perlu turun padang untuk melihat dan memantau juga kemajuan projek ini,” kata Nurul Izzah.

Meskipun pertanyaan lisan Nurul Izzah yang dikemukakan pada sidang dewan 26 Jun yang lalu dan sudah pun diberi jawapan dari Menteri Pengangkutan, Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyatakan bahawa kelewatan tersebut tidak akan menjejaskan keuntungan MAHB dan operasi syarikat, ianya sebenarnya telah telah banyak memberi kesan mendalam sebaliknya dari segi kos.

Nurul Izzah menambah, penganalisa RHB, Ahmad Maghfur Osman menyatakan bahawa MAHB akan membelanjakan RM500 juta perbelanjaan tambahan untuk projek KLIA2, justeru itu RHB terpaksa menurunkan nilaian terhadap saham MAHB dari RM6.86 dari RM7.23.

“Badan Kajian MIDF Amanah Investment Bank BHD (MIDF Research) juga menyatakan dalam laporan mereka bahawa MAHB mungkin terpaksa membayar tuntutan sebanyak RM250 juta daripada para kontraktor atas sebab perubahan permintaan skop kerja-kerja (variation order) KLIA2,” katanya lagi.

Kajian RHB (RHB Research Institute Sdn Bhd) melaporkan bahawa kontraktor terminal utama yang dipilih MAHB iaitu UEMC-Bina Jaya Puri JV (UBPJV) telah memberi komitmen untuk menyiapkan operasi KLIA2 menjelang 30 April termasuklah aspek ‘Operational Readiness and Airport Transfer (ORAT).

“Memetik kenyataan mereka - memandangkan terminal utama sudah 90 peratus siap – kami menjangkakan operasi cubaa (trial run) boleh bermula sekitar akhir 2013. Malah Badan Kajian MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF Research) juga menyatakan dalam laporan mereka bahawa tuntutan terhadap perubahan yang dilakukan termasuklah pemanjangan Landasan Kapal Terbang 3, perubahan aras tanah (earthworks) dan peningkatan am infrastruktur awam telah kos tambahan RM300 juta dalam memenuhi tu tutan itu,” kata Nurul Izzah.

Isu tersebut timbul setelah tarikh pembukaan KLIA2 yang sepatutnya telah mula beroperasi pada 28 Jun lalu telah ditunda ke setahun lagi iaitu pada 2 Mei 2014 sehingga memaksa satu jawatankuasa pemantauan terpaksa dibentuk.

Tony Pua pula berkata, meskipun, Menteri Pengangkutan Datuk telah pun memberi jaminan bahawa lapangan terbang tersebut akan tetap sedia beroperasi pada bulan Mei tahun hadapan, ianya tidak begitu meyakinkan dan menurutnya kerajaan seperti menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat.

“Kami mahukan penubuhan satu jawatankuasa bebas menyiasat mengenai kelewatan KLIA2 ini agar kebenaran dapat diberikan kepada rakyat,” kata Tony.