PUTRAJAYA: Pakej 5G RAHMAH, dengan spesifikasi asas pelan data (device bundle) melibatkan telefon pintar berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB, akan mula ditawarkan bermula 31 Ogos ini untuk semua rakyat Malaysia hingga Disember.
Ketika melancarkan pakej 5G RAHMAH itu di sini hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut mengumumkan insentif pascabayar RAHMAH Penjawat Awam melibatkan rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas, yang akan bermula 16 Sept ini.
Beliau berkata pakej 5G RAHMAH dilancarkan hari ini yang melibatkan pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G itu, hanyalah merupakan spesifikasi asas bagi pemberian pakej 5G RAHMAH dan pihak telco amat digalakkan menyediakan tawaran yang lebih baik.
"Sebagai contoh telco boleh menyediakan harga telefon pintar yang lebih rendah daripada RM240 atau bayaran bulanan pelan pascabayar yang lebih rendah daripada RM60 atau kuota data yang lebih banyak daripada 60GB sebulan," katanya.
Menurutnya, difahamkan ada dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang akan menawarkan pakej 5G RAHMAH pada harga serendah RM35 untuk data 100GB berserta peranti 5G, malah ada yang menawarkan peranti secara percuma.
Beliau berkata melalui kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan syarikat pengeluar telefon bimbit Samsung dan Honor, tempoh waranti tambahan 12 bulan akan diberikan yang menjadikan tempoh waranti keseluruhan bagi Pakej 5G RAHMAH adalah selama 24 bulan iaitu sama dengan tempoh kontrak.
"Pakej 5G RAHMAH ini adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had pembelian," katanya.
Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, Fahmi turut mengumumkan Pakej 5G RAHMAH akan ditawarkan kepada 100,000 pelanggan terawal daripada golongan B40 dan mereka layak mendapat subsidi RM120 untuk telefon pintar.
"Sebagai contoh, bagi telefon pintar berharga RM240, pelanggan yang layak hanya perlu membayar RM120 bagi telefon pintar itu. Sekiranya telco menyediakan telefon pintar pada harga yang lebih rendah daripada harga RM240, misalnya RM200, harga yang perlu dibayar oleh pelanggan setelah ditolak subsidi adalah sebanyak RM80 sahaja," katanya.
"Bagi 100,000 pelanggan terawal golongan B40 yang mendapat subsidi RM120 ke atas harga telefon pintar, hanya satu pakej 5G RAHMAH sahaja yang layak diperoleh menggunakan subsidi ini. Harga telefon pintar bagi pembelian kedua dan seterusnya di bawah pakej ini adalah pada harga RM240," katanya.
Bagi insentif pascabayar RAHMAH Penjawat Awam pula, Fahmi berkata tawaran rebat itu adalah buat penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta tertakluk kepada terma dan syarat daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.
Insentif itu terbahagi kepada dua kategori iaitu penjawat awam yang baru mendaftar untuk melanggan pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas dengan mana-mana telco terlibat; dan penjawat awam yang sedang melanggan mana-mana pakej pascabayar yang bernilai RM60 dan ke atas dengan mana-mana telco terlibat, dan pakej pascabayar itu tidak terikat dengan kontrak.
Fahmi berkata insentif berkenaan tidak terpakai bagi penjawat awam yang melanggan mana-mana pakej pascabayar secara berkumpulan melalui kementerian, jabatan, agensi, kelab dan persatuan kerana pakej pascabayar secara berkumpulan telah mempunyai rebat.
Beliau berkata pakej serta insentif yang diumumkan itu merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes) serta syarikat pengeluar telefon iaitu Samsung Malaysia Electronics dan Honor Malaysia.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Aug 29 2023
Fahmi (tiga,kanan) melawat ke ruang jualan pada Pelancaran Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam di Anjung KKD hari ini. - Foto BERNAMA
Pengasas jenama fesyen Mango Isak Andic maut terjatuh tebing
Isak Andic, pengasas rangkaian fesyen global Mango, meninggal dunia pada Sabtu selepas terjatuh dari tebing di timur laut Sepanyol.
Konsert Siti Nurhaliza, Judika dikejutkan dengan insiden kebakaran
Konsert penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza bersama Judika di Stadium Merdeka dikejutkan seketika dengan insiden kebakaran kecil melibatkan kotak bunga api pada Sabtu.
PRN Sabah: GRS nyata hasrat terus bekerjasama dengan PH - Hajiji
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Program Gerakan Kepimpinan Madani perkukuh inisiatif KPM banteras isu buli
Program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual yang dilaksana KPM memperkukuh inisiatif kementerian dalam usaha membanteras isu buli di sekolah.
Anak jadi inspirasi guru pedalaman bina bilik multisensori bantu murid pendidikan khas
Seorang guru di pedalaman Sabah menjadikan anak lelaki tunggalnya yang juga kanak-kanak autistik sebagai sumber inspirasi membangunkan projek bilik multisensori.
Sultan Selangor berkenan sertai acara Larian KITA
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyertai Larian Kebajikan Inklusiviti Teras Aspirasi (KITA) di Kampung Bagan Terap.
Anwar sahkan ada perbincangan Tengku Zafrul sertai PKR
Anwar sahkan ada perbincangan Tengku Zafrul sertai PKR
'Prestasi Zii Jia meningkat, cuma kurang bernasib baik'
Zii Jia mengotakan janjinya apabila menjelmakan peningkatan prestasi dalam Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China.
MyFundAction edar bantuan lebih RM200,000 kepada mangsa banjir
Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) mengedarkan bantuan bernilai lebih RM200,000 kepada mangsa banjir di negeri yang terkesan akibat musibah itu.
Pesta Pau bakal diadakan dalam skala lebih besar
Majlis Daerah Tanjong Malim dengan kerjasama Tourism Malaysia bercadang menganjurkan Pesta Pau X Rekreasi Muallim 2024 dalam skala lebih besar.
Pakej 5G RAHMAH bermula 31 Ogos, pascabayar RAHMAH penjawat awam pada 16 Sept
Pakej 5G RAHMAH akan mula ditawarkan bermula 31 Ogos ini untuk semua rakyat Malaysia hingga Disember.