Seorang pemandu van sekolah direman enam hari selepas dipercayai melakukan seks luar tabii dan gangguan seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata tangkapan polis terhadap suspek berusia 47 tahun itu susulan laporan yang dibuat bapa mangsa semalam.

"Dalam laporan yang dibuat, pengadu mendakwa pada jam lebih kurang 5.45 petang semalam, dia dimaklumkan oleh rakan anaknya yang melihat pemandu van sekolah itu memaksa anak pengadu menghisap kemaluannya.

"Pengadu kemudian mendapati anaknya turun dari van sekolah yang dipandu oleh suspek dalam keadaan menangis.

"Pengadu telah membawa anaknya masuk ke rumah dan bertanya lanjut tentang kejadian yang dimaklumkan. Setelah ditanya anak pengadu telah menceritakan kejadian yang berlaku sebagaimana yang didakwa oleh rakan anak pengadu.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian yang berlaku pada anak pengadu bukan kali pertama, sebaliknya telah berlaku beberapa kali," kata Ahmad Dzaffir dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, mangsa juga mengadu diugut oleh suspek sekiranya mendedahkan hal tersebut kepada ibu bapanya.

Hasil semakan, polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu satu rekod jenayah melibatkan kesalahan jenayah cabul dan tiga rekod jenayah melibatkan kesalahan dadah.

Katanya, Majistret Mahkamah Bangi membenarkan perintah reman selama enam hari bermula hari ini hingga 31 Mei nanti.