Presiden parti Malaysian Indian Congress (MIC) Datuk Seri G.Palanivel tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan satu pilihan raya baru parti itu, kata Naib Presiden Datuk M.Saravanan.

Katanya, cadangan itu sepatutnya diajukan kepada majlis tertinggi terlebih dahulu.

Beliau juga mengingatkan Palanivel agar patuh kepada Pendaftaran Pertubuhan yang mengarahkan parti untuk mengadakan pilihan raya semula sebelum 1 April.

“Saya keliru. Niat Palanivel memang baik tapi kenapa dia tidak menyelesaikan perkara yang sedia ada? Jikaa ia tidak diselesaikan, parti akan dibubarkan,” katanya sewaktu dihubungi Astro AWANI.

Saravanan turut mempersoalkan tindakan Palanivel yang mempercepatkan pemilihan parti tersebut yang dijadualkan pada 2016.

“Dia tiada kuasa untuk mempercepatkan pemilihan parti. Jawatan yang disandang kini berkuatkuasa 2013-2016. Dia perlu mendapatkan mandat daripada persidangan perwakilan dahulu sebelum mengadakan pemilihan baru,” tambah Palanivel.

Saravanan turut meluahkan rasa kecewanya terhadap kenyataan Palanivel yang dibuat tanpa berunding dengan majlis tertinggi dan mendesaknya agar menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

“Itulah yang saya cuba ajar (nasihat) sejak awal. Ikut Perlembagaan parti. Bila kita diberi jawatan, kita termaktub kepada perlembagaan,” katanya.

“Sempena Thaipusan, saya berharap dan berdoa agar dia dapat memahami perlembagaan parti,” tambah Saravanan.

Katanya lagi perlembagaan parti sangat jelas mengenai hal pemilihan dan meneruskan hasratnya untuk berbincang masalah tersebut dalam parti.

“Kita bincang dahulu. Jangan buat kelakar, kita bawa imej parti,” kata Saravanan.

Semalam, Palanivel mencadangkan agar satu pemilihan parti yang baru diadakan untuk menamatkan krisis dalaman parti itu.

“Kami turut melihat keperluan mengadakan pemilihan semula atau pemilhan baru dan selepas berbincang kami mahu mengadakan pemilihan baru kerana ia jalan yang terbaik,” katanya selepas bertemu pengerusi cawangan MIC di seluruh Johor pada Ahad.