KUALA LUMPUR: Semangat 'Keluarga Malaysia' yang sebenar harus dipamerkan semasa menyelesaikan sebarang isu berhubung tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, semua pihak juga perlu balik ke meja rundingan jika ada perkara yang rumit dan sukar untuk dipenuhi dalam polemik berkenaan.

Jelasnya, sebarang penangguhan kepada tuntutan itu mesti hanya bersandarkan kepada keupayaan dan keadaan semasa selain tiada dolak-dalik lagi yang harus ditimbulkan.

"MA63 merupakan perkara yang sinonim dengan tarikh 16 September. Setiap kali Hari Malaysia, isu tuntutan ini akan memenuhi ruangan media dan menjadi perbincangan ahli-ahli politik.

"Hari Malaysia diraikan di sebelah barat dan timur tanpa ada sebarang prejudis dan memupuk semangat majmuk yang sering menjadi kelebihan kita di mata dunia.

"Kita berbangga dengan latar-belakang etnik Malaysia yang berbilang bangsa dan tinggal dengan aman damai di bawah satu bumbung bernama Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Transformasi kerajaan, Parlimen, MA63 keutamaan Wan Junaidi

BACA: 
Abang Johari harap Kerajaan Persekutuan terus hormati hak, keistimewaan Sarawak

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, transformasi sistem kerajaan dan Parlimen serta meneliti MA63 menjadi keutamaan beliau dalam tempoh pencapaian 100 hari memegang jawatan itu.

Ujarnya, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah bersetuju secara prinsip untuk meneliti pelan transformasi tersebut.

Dalam pada itu Bastien menjelaskan, MA63 merupakan jaminan kepada beberapa perkara yang menjaga hak-hak pribumi, perkongsian kuasa dan aspek yangg menjadi demarkasi antara wilayah Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, MA63 akan memberi kelebihan kepada kedua-dua buah pihak pada ketika ia ditandatangani.

"Saya menyambut baik hasrat dan kesungguhan Wan Junaidi yang mahu meneliti serta memperhalusi penjanjian ini untuk dipenuhi oleh Kerajaan Pusat. 

"Dari 1963 hingga 2021, Malaysia sudah makmur dan membuktikan bahawa penjanjian ini membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia.

"Kedaulatan Malaysia yang diuji dengan pencerobohan Lahad Datu menunjukkan bahawa kita akan mempertahankan setiap inci bumi yang bergelar Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata, isu ketidakpatuhan terhadap MA63 perlu diselesaikan sejajar dengan kepentingan perjanjian berkenaan yang dianggap sebagai asas untuk mengekalkan persekutuan dan mengukuhkan perpaduan serta solidariti.

Ujarnya, perkara itu sangat penting untuk diberikan perhatian sejajar harapan rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya semasa sambutan Hari Malaysia

Terdahulu, Bastien mengadakan lawatan kasih Hari Malaysia, bersama mengibarkan bendera dan menyampaikan sumbangan di kawasan orang asli Kampung Puting dan Kampung Balai Badang di Segamat.