KUALA LUMPUR: Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur ke-9 (KLESF@Cyberjaya 2022) oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) buat julung kali berlangsung di Cyberyjaya, selepas dua tahun penganjurannya diadakan secara maya.

Pameran berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan metametik (STEM) itu juga diadakan secara hibrid di beberapa tempat berbeza termasuk di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) dan Hab Perkongsian MIGHT dari 9 hingga 11 Dis dan 16 hingga 18 Dis.

"KLESF@Cyberjaya juga mempromosikan KLESF 2023, acara yang dijangka menarik lebih banyak penyertaan daripada sektor kerajaan, industri, ibu bapa, dan masyarakat bagi menyokong usaha menggalakkan pembelajaran serta peluang kerjaya dalam bidang berkaitan STEM, terutama dalam kalangan pelajar.

"Inisiatif ini akan menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan STEM oleh semua pihak berkepentingan. Selain itu, KLESF@Cyberjaya juga permulaan bagi kerjasama berkaitan bidang STEM dalam kalangan firma di Cyberjaya," menurut MIGHT dalam satu kenyataan hari ini.

Pameran itu meliputi program berbentuk teknologi seperti dron, pertanian pintar, robotik, pengaturcaraan yang dijalankan dalam bentuk bengkel, pameran yang memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan guru untuk menyaksikan kehebatan STEM melalui demonstrasi, eksperimen sains, permainan dan aktiviti lain.

KLESF@Cyberjaya 2022 merupakan platform perkongsian awam dan swasta yang menghimpunkan pihak industri, kerajaan dan akademia bagi meningkatkan kefahaman serta menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan orang ramai.

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Akademi Kejuruteraan dan Teknologi ASEAN (AAET), Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), MIGHT, UTAR dan TARUC.

"Kami berharap acara ini akan mewujudkan masyarakat yang saintifik dan inovatif, namun sektor swasta dan institusi lain perlu turut memainkan peranan bagi melahirkan generasi berpemikiran saintifik.

"Matlamat kami adalah untuk mengarusperdanakan STEM dengan cara yang menarik supaya anak-anak kita dapat meneroka dan menyukai subjek ini... kami berharap KLESF akan meningkatkan rasa cinta dan minat terhadap STEM," katanya.

Pameran enam hari itu turut dianjurkan bersama oleh Futurise, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Multimedia University (MMU), Cybersecurity Malaysia, Cyberview Sdn Bhd, DreamEDGE Sdn Bhd, Aerodyne Group, Sasbadi Holdings, Telekom Malaysia, Maybank Investment Bank dan Majlis Perbandaran Sepang.

-- BERNAMA