KUALA LUMPUR: Tourism Selangor optimis mampu mencapai sasaran kedatangan 70,000 pengunjung ke Pavilion Selangor pada edisi kedua Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, sasaran itu mengambil kira pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik dan menjimatkan yang disediakan oleh pemain industri.

Beliau berkata, pada edisi pertama pameran itu Mac lepas, kira-kira 30,000 pelawat telah mengunjungi pavilion berkenaan dan berhasil menjana jualan sebanyak RM150,000.

"Untuk edisi kali ini, kami lebih menumpukan kepada pakej-pakej pelancongan yang menjimatkan kerana kami percaya ramai yang terlepas tawaran menarik pada edisi terdahulu.

"Jadi dalam usaha merakyatkan pelancongan Selangor, pengunjung boleh mengharapkanpelbagai tawaran yang menarik seperti potongan harga hingga 50 peratus untuk pakej pelancongan di taman tema air serta pakej ecopelancongan dan diharap dapat menjana jualan berjumlah RM250,000," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran Fiesta Pusing Selangor Dulu pada Pameran MATTA di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Sabtu.

Berlangsung selama tiga hari bermula semalam, Pameran MATTA itu menyaksikan lebih 20 tarikan pelancongan ditonjolkan di Pavilion Selangor.

Antara tarikan itu ialah Taman Tema SplashMania, Rumah Hutan Terapi Alam, GM Klang, Jumpstreet Asia, Chocolate Museum, Selangor Fruit Valley, Farm Fresh@Universiti Putra Malaysia dan Sky Mirror di Kuala Selangor.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah lumayan bernilai hingga RM5,000 sepanjang pameran berlangsung dengan menyertai Pertandingan TikTok Tourism Selangor. - BERNAMA