Kerajaan masih dalam proses meneliti jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi kos pengambilalihan dua syarikat berkaitan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara susulan pembatalan perjanjian dan pampasan yang dikemukakan LTAT.

"Dalam perbincangan terkini pada 26 Okt lepas semua pihak telah bersetuju supaya tuntutan akhir kepada LTAT dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan untuk diteliti secara terperinci dengan melihat segala elemen kos yang telah dikemukakan," katanya.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang ingin tahu jumlah pampasan yang telah dibayar kepada syarikat pengendali AES setelah diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kamarudin berkata Kementerian Kewangan kemudian akan memberi cadangan kepada kerajaan mengenai kaedah penyelesaian berhubung tuntutan itu.

"Proses ini dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, perkembangan akhir perkara itu akan diumumkan selepas diluluskan Jemaah Menteri," katanya.

-- BERNAMA