MIRI: Kontraktor yang terlibat dengan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak perlu fokus memastikan pakej kontrak jalan raya dengan siap dengan sempurna bagi memastikan keselamatan dan keselesaan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata hal ini bagi memastikan tiada kerosakan berterusan kepada laluan LPB jika perincian kerja-kerja pembinaan dibuat sambil lewa.

“Lubang jalan dan sebagainya perlu ditutup, kalau tidak ia akan menimbulkan masalah (keselamatan dan kemalangan).

“Kalau kita lihat jalan yang sedia ada, berlaku mendapan, ia menyukarkan proses membaiki dan sebagainya dengan keadaan jalan yang sudah dibuka kepada trafik,” katanya.

Beliau berharap agar pihak kontraktor dan perunding memberi tumpuan penuh kepada faktor turapan jalan sebelum membuka kepada masyarakat umum.

“Biar turapan sempurna sebelum jalan dibuka kepada umum, jika sudah siap dengan satu sehingga dua lapisan turapan, dikhuatiri akan rosak kerana tidak mampu menampung berat muatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas secara keseluruhan perkembangan projek LPB Sarawak selepas menamatkan Program FTRoadPedia Lebuhraya Pan Borneo 2022 di sini pada Sabtu.

Sepanjang tempoh tiga hari dari 9 Jun lalu, rombongan peserta program menaiki bas menelusuri laluan LPB sejauh 786 kilometer dari Kuching sehingga ke Miri.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata, kemajuan pembinaan LPB Sarawak disifatkan lebih pantas berbanding Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Menurutnya, meskipun berdepan cabaran bentuk muka bumi dan faktor geografi pembinaan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.