SANDAKAN: Baki 19 daripada 35 Pakej Kerja (WP) dalam fasa pertama projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak akan melaksanakan projek itu menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri bagi mempercepatkan projek itu.

"Tiada lagi (keperluan PFI). Sekarang ini sedang dimuktamadkan melalui Kementerian Kewangan berkenaan kaedah pelaksanaan dan perolehan. Anggaran bila mula (dilaksanakan), sekarang ini tengah dimuktamadkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau WP 27, yang melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Batu 32 Sandakan sepanjang 18.1km, di sini sempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini.

Fadillah memaklumkan keseluruhan Fasa 1 projek itu di Sabah dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.



FADILLAH-PAN BORNEO 2 (AKHIR) SANDAKAN



Mengenai penyenggaraan jalan rosak di Sabah, beliau berkata KKR akan sentiasa berusaha memastikan infrastruktur awam, khususnya jalan raya rosak dibaik pulih demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, terdapat sebanyak 47,223 lubang telah ditampal di Sabah, khususnya di jalan Persekutuan, sejak 2019 hingga bulan lepas (April).

Katanya jumlah tampalan lubang tersebut menunjukkan trend peningkatan sebanyak 18 peratus setiap tahun, sekali gus menunjukkan jangka hayat jalan sedia ada memerlukan peruntukan penyenggaraan lebih besar.

"Terdapat juga jalan di Sabah yang telah tamat tempoh hayatnya dan perlu penurapan semula," katanya.

Program jelajah itu bermula hari ini hingga 29 Mei bagi meninjau status projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan isu penyenggaraan jalan Persekutuan.

-- BERNAMA