KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melihat persepakatan dari Brunei berhubung cadangan semula pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) menghubungkan Sarawak dan Sabah yang akan melalui sebahagian kawasan negara itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak Brunei dalam lawatan kerja beliau ke negara itu baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Sarawak) telah memberi taklimat tentang cadangan untuk meneruskan Lebuhraya Pan Borneo yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang akan melalui sebahagian kawasan Brunei Darussalam.

“Projek ini akan diteruskan melalui projek pembangunan Lebuhraya Pesisir Utara dan taklimat serta penerangan ini penting supaya kita dapat bekerjasama dengan negara Brunei Darussalam seperti yang telah dipersetujui sebelum ianya dibatalkan PH,” katanya semasa sidang media Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri di Wisma Sumber Alam di sini pada Isnin.


Pada 22 Mac lalu, Awang Tengah mengetuai rombongan kerajaan negeri ke Brunei Darussalam bagi membincangkan beberapa perkara berhubung pemantapan sosioekonomi dan perhubungan bilateral antara kedua-dua kerajaan.

Mengulas lanjut pertemuan bersama beberapa pemimpin kerajaan Brunei Darussalam, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Sarawak itu menambah pihaknya turut menerangkan keseluruhan projek jalan perhubungan di wilayah utara negeri itu termasuk Sabah Sarawak Link Road (SSLR).

“Laluan ini juga akan mengintegrasikan lebuh raya ke arah sempadan Indonesia dengan projek pembangunan Lebuh Raya Pesisir Utara yang telah dicadangkan dan akan dilaksanakan. Antara lain taklimat mengenai projek pembangunan lapangan terbang Lawas dan cadangan pembinaan sebuah kawasan pelabuhan,” ujarnya lanjut.

Kunjungan hormat dan mesyuarat bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof pagi yang diadakan di pejabat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei itu turut membincangkan peluang kerjasama berkaitan kedua-dua pihak bagi meningkatkan aktiviti sosioekonomi.