Ahli Parlimen yang memboikot proses mengangkat sumpah pada 24 Jun ini berdepan tindakan digugur status dalam tempoh enam bulan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tidak ada pengecualian akan diberi kecuali Ahli Parlimen berkenaan tidak hadir kerana alasan kesihatan.

``Kalau ahli Yang Berhormat tidak angkat sumpah ikut Perlembagaan selama enam bulan maka secara automatik gugur sebagai ahli Parlimen. Apabila kita angkat sumpah baru kita boleh jalankan fungsi sebgai wakil rakyat,'' katanya.

Beliau berkata semasa sidang media selepas majlis taklimat kepada Ahli Dewan rakyat di Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas `ugutan' ahli-ahli Parlimen PR yang mahu memboikot sidang Dewan Rakyat kali ini ekoran tidak berpuas hati dengan beberapa perkara termasuk keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen hari ini menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli Parlimen PR.

Kata Pandikar, selain amaran gugur status yang dituju kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR), ia sekali gus memberi kesan negatif kepada mereka yang akan dilabel menghina Parlimen dan Yang Dipertuan Agong.

"Kalau mereka boleh boikot sistem demokrasi, saya juga sebagai speaker barangkali mungkin saya membuat pendirian saya akan boikot, pada hari mereka mengangkat sumpah.

"Jadi timbalan-timbalan saya juga akan boikot. Tidakkah begitu jadinya?," jelasnya.

Ketika ditanya adakah kemungkinan pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan seandainya status Ahli Parlimen digugur selepas enam bulan tidak mengangkat sumpah, Pandikar menjelaskan;

“Tanggungjawab saya bukan pastikan pilihan raya berjalan atau tidak, tanggungjawab saya memastikan persidangan berjalan, kerana saya masih lagi speaker berdasarkan Perlembagaan. Tentang pilihan raya kena tanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu semasa taklimatnya, pandikar mengingatkan Ahli Parlimen supaya mengikut peraturan dan tidak menyalahgunakan undang-undang Parlimen sedia ada yang boleh melengahkan perjalanan persidangan.

Pada majlis sama, E- Buku Profil Parlimen dilancar dalam bentuk cakera padat (CD) yang dihasilkan untuk kegunaan Ahli Parlimen dalam memberi penerangan perkara berkaitan Parlimen.

Ia sekali gus memudahkan Ahli Parlimen memahami fungsi, tugas serta kemudahan yang boleh didapati dan digunakan dalam perjalanan sidang yang akan bermula 24 Jun ini.

Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.