Pihak penguasa agama diminta memantau agamawan dan ahli akademik yang kerap memetik pendapat ilmuan Islam Ibn Taimiyyah dalam ceramah dan sebarang penerbitan artikel mereka.

Ketua Pengarah Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Ayob Khan Mydin Pichay berkata, ia kerana banyak fatwa daripada ulama tersebut diseleweng Daish untuk menjustifikasikan tindakan ganas mereka.

"Ini berdasarkan pengakuan ahli Daish yang kita tahan, di samping bahan propaganda militan berkenaan seperti majalah atas talian 'Dabiq' yang jelas menyeleweng fatwa Ibn Taimiyyah.

"Saya tidak mengatakan Ibn Taimiyyah itu sesat," tegasnya ketika ditemui pada Seminar Ancaman Daish dan Istilah Kafir Harbi di sini, hari ini.

Fatwa ulama zaman khalaf (selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat) diseleweng Daish untuk melabel aliran Asya'irah dan Maturidiyyah yang dipegang majoriti umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai syirik, murtad dan tergolonh ahli neraka.

Antara lain yang diseleweng termasuk dosa akan terhapus sekiranya mati secara jihad Qital dalam perang, bertujuan menarik orang Islam terutamanya pelaku dosa seperti zina dan peminum arak.

Kata Ayob, jabatan mufti setiap negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memainkan peranan penting bagi tujuan itu, memandangkan pihak polis tidak memiliki autoriti melaksanakan pemantauan melibatkan isu-isu agama.

"Perkara ini melibatkan ideologi dan jika ia tidak diketengahkan, masalah ancaman Daish tidak akan selesai," katanya.

Menurut beliau, beberapa negara telah bertindak mengharamkan kitab Ibn Taimiyyah antaranya di Universiti al-Azhar, Mesir dan Jordan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pertimbangan kerajaan untuk mengambil tindakan sama terhadap kewujudan kitab tersebut di negara ini.