MALAYSIA
Para jemaah lega solat Jumaat di R&R Seremban, tak perlu tercari-cari masjid

Hampir 500 jemaah menyertai solat Jumaat yang diimamkan oleh Tuan Shafie Rajiman selaku Imam Satu Masjid Pekan Labu Batu 10. - Foto Astro AWANI/Seth Akmal.
Seremban: Para jemaah lelaki beragama Islam meluahkan rasa syukur apabila berpeluang menunaikan solat Jumaat buat pertama kali di Surau MADANI, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), hari ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati hampir 500 jemaah menyertai solat Jumaat yang diimamkan oleh Tuan Shafie Rajiman selaku Imam Satu Masjid Pekan Labu Batu 10.
PLUS Malaysia Berhad melaksanakan insiatif yang pertama di negara bagi surau R&R mendapat pengisytiharan kelulusan mendirikan solat Jumaat oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Faudzinaim Badaruddin pada 2 Julai.
Mohd Harmizi Ab Hamed, 44 selaku pekerja swasta yang sering berulang alik Kuala Lumpur-Batu Pahat setiap hari Jumaat kebiasannya akan melaksanakan tanggungjawab tersebut di masjid berhampiran susur keluar plaza tol Pedas Linggi.“Saya mendapat maklumat mengenai solat Jumaat ini melalui papan tanda di lebuh raya tadi dalam perjalanan ke arah Selatan…saya bersyukur kerana akhirnya ada sebuah R&R untuk melakukan solat Jumaat,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Zainudin Jahaya, 52, kontraktor dari Kajang yang sering ke Lukut setiap minggu, turut menyambut baik inisiatif tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat akhirnya ada R&R untuk saya solat Jumaat … saya tidak perlu lagi berfikir dari pagi di mana saya hendak berhenti untuk solat (Jumaat), kebiasaannya saya akan solat di masjid berdekatan pekan Lukut,” katanya.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kawasan R&R Seremban berkenaan dipilih untuk solat Jumaat berikutan jumlah pengguna yang singgah mencecah ratusan ribu pada setiap hari.
Walaupun terdapat perancangan untuk program yang sama di lokasi R&R lain namun Nik Airina berkata terdapat spesifikasi yang perlu dipatuhi.
“Untuk solat Jumaat ini, ada spesifikasinya yang perlu kita penuhi dan kita akan hanya menyediakan kemudahan solat Jumaat di surau lebuhraya atau di surau di kawasan RnR bila keperluan itu dipenuhi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd Hadzmir Yusoff berkata, pihaknya akan menambah keperluan di surau memandangkan jumlah jemaah dijangka akan bertambah.
“Saya rasa selepas ini mungkin akan bertambah lah…Tapi kita di peringkat LLM dan PLUS, akan melihat keperluan dan juga akan meningkatkan kemudahan yang ada di sini,” katanya.
Inisiatif ini dilaksanakan adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di situ serta penduduk sekitar Labu dan Seremban selain pengguna jalan raya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami