EU denda jenama Gucci, Chloe dan Loewe jutaan dolar kerana penetapan harga

EU mendakwa, tiga jenama itu menyalahi undang-undang peruncit bebas, sama ada dalam talian atau luar talian, daripada menetapkan harga untuk produk mereka. - AP
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) telah mengenakan denda berjumlah EUR157 juta (AS$181.4 juta) ke atas syarikat fesyen mewah Gucci, Chloe dan Loewe kerana menetapkan harga jualan semula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketiga-tiga jenama yang masing-masing berpangkalan di Itali, Perancis dan Sepanyol itu didakwa menyekat secara menyalahi undang-undang peruncit bebas, sama ada dalam talian atau luar talian, daripada menetapkan harga untuk produk mereka.
Amalan itu "meningkatkan harga dan mengurangkan pilihan bagi pengguna," menurut Suruhanjaya itu dalam siaran akhbar.
Peruncit tidak dibenarkan menyimpang daripada harga runcit yang disyorkan, kadar diskaun maksimum atau tempoh tertentu untuk jualan.Pelanggaran itu meliputi seluruh Kesatuan Eropah (EU) dan berlangsung selama beberapa tahun, menurut Suruhanjaya itu lagi.
"Di Eropah, semua pengguna, tidak kira apa yang mereka beli dan di mana sahaja mereka membelinya, dalam talian atau luar talian, berhak mendapat faedah persaingan harga yang tulen," kata Naib Presiden Suruhanjaya EU Teresa Ribera.
"Keputusan ini menghantar isyarat yang kuat kepada industri fesyen dan pihak lain bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan amalan seperti ini di Eropah, dan persaingan yang adil serta perlindungan pengguna berlaku kepada semua orang, secara sama rata," kata Ribera.
Gucci perlu membayar EUR119.7 juta (AS138.7juta), Chloe EUR19.7juta(AS22.8 juta) manakala Loewe EUR18 juta (AS$20.8 juta).
Ketiga-tiga syarikat mendapat pengurangan denda selepas bekerjasama dengan EC termasuk menyediakan bukti. Semua syarikat mempunyai hak untuk mencabar denda itu di mahkamah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami