SHAH ALAM: Paras air tujuh empangan di Selangor masih berada pada paras stabil, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim.

Beliau berkata walaupun negara sedang berdepan fenomena suhu panas, paras air di tiga empangan berada pada paras 85 peratus manakala bakinya ditahap melebihi 90 peratus.

"Tidak ada yang kritikal. Kesemua paras air empangan masih di tahap 85 peratus. Kalau bawah 70 peratus, itu dah kritikal dan kita akan ambil langkah berjaga-jaga.

"Saya rasa kesan El Nino (di Selangor) hanya akan mula terasa pada suku kedua iaitu pada Jun nanti. Sekarang masih hujan dan paras air juga masih bertahan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan suhu panas tahap berjaga-jaga direkod di 21 kawasan seluruh negara termasuk di Sepang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Untuk rekod, suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga adalah merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius yang direkod dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

-- BERNAMA