GEORGE TOWN: Kapasiti Empangan Air Itam di sini berada pada paras rendah iaitu 38.5 peratus susulan taburan hujan yang luar biasa rendah di kawasan tadahan air (KTA) tersebut sejak Januari.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir. Jaseni Maidinsa menasihatkan para pengguna supaya menggunakan air secara berhemat.

"Sejak 1 Januari hingga 31 Mac lepas, kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menyusut sebanyak 50.8 peratus kerana taburan hujan yang luar biasa rendah iaitu sebanyak 250 milimeter (mm) di KTA Empangan Air Itam.

"Sebagai perbandingan, jumlah hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 366 mm manakala hujan di KTA Empangan Mengkuang berjumlah 1,128 mm. Selain itu, punca kedua ialah permintaan air harian yang tinggi di kawasan perbandaran Air Itam dan kawasan sekitarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya PBAPP juga telah merekodkan penggunaan air yang tinggi secara konsisten di negeri ini sejak tiga bulan lepas dan berusaha untuk melaksanakan kawalan cuaca kering untuk mempertahan kapasiti efektif empangan.

Jaseni berkata pada 31 Mac penggunaan air bermeter adalah hampir 900 juta liter sehari (JLH), berbanding purata 860 JLH pada tahun 2021.

Katanya, air terawat yang dipam dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kolam Air Bukit Dumbar di bahagian pulau setiap hari, melalui tiga set saluran paip dasar laut berkembar, digunakan dengan pantas.

"Permintaan air di kawasan selatan bahagian pulau agak tinggi dengan ketara," katanya.

Beliau berkata paras air terawat di kolam air Bukit Dumbar adalah rendah dan disebabkan itu PBAPP tidak boleh mengepam air pada tekanan yang mencukupi ke semua kawasan hujung paip agihan dan kawasan lebih tinggi kerana pam air akan terhenti secara automatik dan mungkin rosak.

"Buat masa ini, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan air dengan berhemat sehingga musim antara monsun pada bulan April dan Mei membawa hujan ke KTA empangan. Elak menggunakan hos secara tidak perlu untuk mencuci kenderaan, menyiram tanaman atau membersihkan rumah," katanya.

-- BERNAMA